Pasir Puteh - Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun adalah antara tiga suspek ditahan polis kerana disyaki menjadi pengedar dadah, di sebuah rumah di Cherang Ruku, Semarak di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata polis turut menemui 850 biji pil kuda (methamphetamine) dan 9.7 gram syabu di situ.
Menurutnya, dalam serbuan pukul 2.30 petang Selasa itu, polis juga merampas sepucuk pistol tiruan, sebilah kerambit, sebuah kereta dan wang tunai RM1,610.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki berusia 19 tahun dan dua perempuan masing-masing berumur 14 dan 23 tahun.
"Suspek lelaki dan perempuan berusia 23 tahun itu adalah adik-beradik," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh di sini, hari ini.
Katanya kedua beradik itu ditahan reman selama tujuh hari manakala remaja berumur 14 tahun itu direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata siasatan mendapati ketiga-tiga suspek itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dipercayai baharu melibatkan diri dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Pasir Puteh.
0 comments:
Post a Comment