Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 8, 2015

PEMBENIHAN AWAN JIKA KEMARAU BERLARUTAN


Tan Sri Alfred Jabu


Kuching - Pihak berkuasa berkaitan seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Meteorologi diminta bersiap sedia untuk melakukan pembenihan awan sekiranya musim kemarau di Sarawak sekarang, berlarutan.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, ketika ini, pembenihan awan tidak perlu dilakukan dan bekalan air akan dihantar ke sekolah, kampung, rumah panjang dan tempat lain yang kekurangan air.

"Kami membuat pemantauan terhadap bekalan di Kuching dan mendapati tiada apa yang perlu dibimbangkan ketika ini, manakala langkah luar jangka telah disusun semua jabatan berkenaan, termasuk lembaga air dan Jabatan Kerja Raya," kata Jabu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pada sidang media di sini, semalam.

Beliau memberi jaminan pengguna akan mendapat bekalan air mencukupi pada musim kering ini, yang dijangka berlarutan sehingga September.

Semua pejabat residen di negeri ini juga mempunyai pelan luar jangka masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP), yang memberi keutamaan kepada kawasan yang mengalami kekurangan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri.

"Di kawasan yang sukar untuk disediakan bekalan air, Jabatan Kabajikan telah diminta menambah bekalan air minuman daripada empat kotak kepada 10 kotak bagi setiap keluarga untuk memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan air pada musim perayaan," katanya.

Menurut Jabu, Lembaga Air Kuching (LAK) yang berpengalaman luas dalam memantau dan mengurus keperluan bekalan air, mempunyai kaedah baharu untuk menambah bekalan air bagi menampung sumber air Jabatan Kerja Raya.

Katanya pihak berkuasa lain termasuk Jabatan Kesihatan juga diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dengan pelan masing-masing bagi mencegah merebaknya penyakit.

0 comments:

share2