Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 31, 2015

LIPIS : PEMANDU JENGKAUT NYARIS MAUT DITETAK MAJIKAN

Kes jenayah



Seorang pemandu jengkaut warga Indonesia nyaris maut akibat ditetak majikannya dengan parang di Estet Seri Jengka Rimba Kenong, Kuala Lipis semalam.

Dalam kejadian 5.25 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Sorono, 28, berasal dari Jawa ditemui terbaring dalam hutan dalam keadaan separuh sedar dengan kesan kecederaan di kepala dan badannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata sebelum kejadian mangsa telah dituduh mencuri dan menjual minyak diesel yang menyebabkan majikannya menjadi berang.

"Ketika ditanya majikannya, mangsa memberitahu yang dia langsung tidak mengetahui kehilangan bahan api itu sehingga menyebabkan majikannya menjadi berang dan mengambil sebilah parang dan menetak mangsa sebanyak lapan kali," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa sempat melarikan diri bersembunyi di dalam hutan. 

Abdul Razak berkata mangsa yang mempunyai telefon bimbit turut menghubungi pihak kedutaan Indonesia.

Beliau berkata pihak polis yang kemudiannya menerima maklumat berhubung kejadian melalui Bilik Gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah bergegas ke lokasi kejadian.

"Pihak polis terpaksa mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk masuk ke lokasi kejadian sebelum menemui mangsa yang terbaring dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

"Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Susulan itu beliau berkata seorang suspek berumur 36 tahun ditahan dan sebilah parang dirampas daripadanya.

Suspek yang berasal dari Taman Gemas, Negeri Sembilan didapati mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, katanya.

Suspek kini ditahan reman selama tujuh bagi membantu siasatan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata. - Bernama



0 comments:

share2