Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, July 31, 2015

KUANTAN : ASING SAMPAH MULAI 1 SEPTEMBER



SWCrop melaksanakan pelbagai inisiatif dalam mewujudkan kesedaran kepada isi rumah bagi pelaksanaan pengasingan sisa di punca yang akan berkuat kuasa 1 September ini.

Pengarahnya, Datuk Mohd Nor Affandi Abd Aziz berkata, usaha itu giat dijalankan bagi mendidik masyarakat supaya dapat menyesuaikan diri dengan perubahan berkenaan khususnya melibatkan isi rumah di daerah ini di bawah seliaannya.

Katanya, hanya berbaki sebulan sahaja lagi sebelum kerajaan melaksanakan pengasingan sisa di punca secara mandatori di mana setiap isi rumah harus tahu cara yang betul bagi memastikan bahan buangan domestik dapat dilupuskan secara sistematik dan efisien.

“Proses pengasingan sisa di punca membabitkan pengasingan sisa pepejal isi rumah mengikut komposisi sisa iaitu plastik, kertas, logam, sisa pukal dan sisa kebun dimasukkan dalam beg plastik berasingan dan diikat serta diletakkan di tepi tong sampah beroda pada hari kutipan.

“Orang ramai juga diwajibkan mengasingkan sampah-sampah ini dalam tiga beg plastik berlainan selain mengasingkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari raya jabatan itu di Jalan Berserah di sini, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses memberi taklimat dan pendedahan kepada penduduk di kawasan perumahan sebagai panduan kepada komuniti untuk melaksanakan pengasingan sisa di punca.

“Kita mahu penduduk negeri ini memahami perkara ini sebelum ia dilaksanakan bagi mengelak mereka dikenakan kompaun sekiranya tidak melaksanakan pengasingan berkenaan.

“Setakat ini 80 peratus risalah sudah diedarkan di kawasan perumahan di negeri ini” katanya.

Mohd Nor Affandi berkata, pelaksanaan peraturan baharu ini digubal mengikut klausa perundangan dalam Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Peraturan baharu ini adalah usaha kerajaan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa yang semakin meruncing,” katanya.



0 comments:

share2