Seorang lelaki menerima 10 jahitan di lengan kanan selepas diserang seekor beruk jantan dewasa yang muncul secara tiba-tiba di hadapan pintu rumah mertuanya di Lepar Utara 2, di sini.
Bagaimana pun haiwan liar yang dipercayai turut mencederakan seorang peneroka beberapa tahun lepas itu ditembak mati apabila bertindak di luar kawalan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, mangsa, Ahmad Saufi Hussin, 27, yang sedang berehat di sofa terkejut apabila didatangi haiwan berkenaan yang mahu memasuki dalam rumah.
Menurutnya, cubaan menghalau beruk tersebut gagal, malah diserang sehingga berlaku pergelutan yang mengakibatkan dia dicakar dan digigit di lengan kanan.
“Selepas menggigit, beruk ini cuba untuk keluar melalui tingkap tetapi tidak boleh kerana semua tingkap bertutup.
“Mungkin kerana itu, ia kembali serang saya dan bergelut sehingga ruang tamu bersepah dan dilumuri darah dari bekas gigit hampir 15 minit,” katanya.
Ahmad Saufi berkata, beruk bersaiz kanak-kanak 10 tahun itu akhirnya meloloskan diri melalui pintu menuju ke pokok durian di belakang rumah namun enggan beredar jauh.
Menurutnya, bunyi kasar seakan mahu menakutkan orang dengan kelakuan agresif menunjukkan haiwan tersebut masih tidak berpuas hati dan memaksa khidmat anggota Rela digunakan untuk menembak mati.
“Sebelum ke rumah mertua saya, beruk ini terlebih dahulu menyerang jiran sebelah sehingga mereka sekeluarga terpaksa mengunci diri dalam rumah bagi mengelak kejadian buruk.
“Dilemparkan pisang kerana beranggapan mungkin beruk tersebut lapar tetapi ia tetap tidak mahu makan.
“Dengan saiz yang besar dan agresif, beruk ini sangat berbahaya terutama kepada kanak-kanak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment