Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 6, 2015

KUANTAN: RUMAH ORANG TUA PERLU RM25,000


Rumah orang tua perlu RM25,000


Lebih kurang RM25,000 diperlukan oleh Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Sri Damai, Taman Tas, dekat sini, bagi membina pejabat dan menarik taraf kediaman dalam usaha memberi keselesaan penghuni.

Pengerusinya, Zahari Mamat berkata, peruntukan tersebut juga diperlukan sebagai persediaan menerima dan menambah lagi penghuni menjelang tahun hadapan.

“Kami mengalu-alukan sumbangan orang ramai, sedikit sebanyak dapat juga kami mengumpul dana bagi menyediakan keselesaan kepada penghuni yang sedia ada dan akan datang.

“Setakat ini kami sudah mempunyai kira-kira 15 penghuni dan akan menambah lagi penghuninya pada awal tahun hadapan memandangkan rumah yang diwakafkan sebagai pusat penjagaan orang tua ini mampu memuatkan 38 orang pada satu masa memandangkan kediaman dua pintu ini sangat besar dan mempunyai ruang yang luas.

“Sumbangan dan bantuan kewangan tersebut adalah bertujuan membuat pejabat pentadbiran, menaik taraf bilik air bagi membolehkan warga emas ini menggunakannya dengan lebih selesa seperi penggunaan besi pemegang dan sebagainya, tilam serta katil dan beberapa pendingin hawa untuk memberi pengudaraan yang baik kepada mereka.

Demikian katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Gotong-royong bersama Sahabat Telekung Kuantan, di sini, semalam.

Menurutnya, rumah tersebut baharu sahaja beroperasi selama lebih kurang tiga tahun dan masih memerlukan sumbangan dan dana untuk menyediakan beberapa keperluan penting serta asas buat penghuni.

“Kesemua penghuni di sini merupakan lelaki yang beragama Islam berumur 60 tahun ke atas yang sebatang kara, sakit dan tiada waris sudi menjaga mereka.

“Jadi untuk menjaga warga emas memerlukan kos yang tinggi memandangkan kebanyakan daripada mereka berpenyakit.

“Walaupun kami sudah mendaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat namun belum cukup tempoh untuk kami menerima bantuan dan sokongan kewangan yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun dari tarikh pendaftaran,” katanya.

Tambahnya, begitu berharap agar ada pihak yang sudi membantu selewat-lewatnya penghujung tahun ini memandangkan tahun hadapan dapat menerima penghuni baharu dengan lebih teratur dan selesa berikutan masih ramai warga emas sebatang kara yang ditinggalkan begitu sahaja orang waris mereka.

Sementara itu, dalam program tersebut, Sahabat Telekung Kuantan (STK) telah berjaya mengumpul dana hasil daripada kutipan kilat berjumlah kira-kira RM2,813 untuk diberikan kepada Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Sri Damai dalam usaha membantu serba-sedikit yang diperlukan.

Timbalan Pengerusi STK, Che Ku Shahirawati Che Ku Jusoh berkata, sumbangan tersebut dikutip dalam tempoh 13 hari sahaja dan semuanya diserahkan secara tunai kepada rumah kebajikan tersebut.

“Tempoh kutipan tersebut tidak lama dan kami hebahkan dalam lama sosial STK secara adhoc dan ia seperti derma kilat, sejurus selepas melihat laman sosial Facebook rumah kebajikan tersebut yang memerlukan sumbangan.

“Alhamdulillah... ia berhasil bukan sahaja kami dapat membantu rumah kebajikan tersebut malahan dalam masa yang sama mereka yang ingin menderma namun tidak tahu ke mana arah sumbangan mereka serta tidak mempunyai masa berbuat demikian.

“Dalam pada itu juga terdapat juga sumbangan lain daripada mereka yang sudi memberikan kain pelekat untuk diberikan kepada penghuni sempena hari raya dan cadar katil baharu untuk keselesaan mereka,” katanya.

0 comments:

share2