Alor Setar - Tindakan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menyewa sebuah motel untuk memadu asmara pada bulan Ramadan membawa padah apabila ditahan sepasukan pegawai penguat kuasa agama daerah Kubang Pasu, semalam.
Masing-masing yang berusia 18 dan 19 tahun ditahan ketika duduk berdua-duaan dalam sebuah bilik motel kira-kira jam 1 pagi.
Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, anggotanya mengetuk pintu bilik berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki dan membenarkan untuk pemeriksaan.
Sebaik memasuki bilik itu, mereka menemui seorang wanita berpakaian lengkap sedang dalam ketakutan manakala teman lelakinya hanya memakai tuala.
“Siasatan awal mendapati mereka menyewa dua bilik pada jam 10 malam sebagai helah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Mereka memberi alasan terpaksa menyewa di situ kerana pintu asrama IPT berkenaan sudah ditutup,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Bagaimanapun, kesempatan itu digunakan teman lelakinya untuk menyelinap masuk ke bilik wanita itu sebelum ditangkap berkhalwat.
“Ketika soal siasat, lelaki itu mendakwa tidak melakukan apa-apa dengan pasangannya selain hanya duduk bersama sementara menunggu waktu bersahur.
“Tetapi keadaannya yang hanya memakai tuala ketika pemeriksaan menimbulkan syak anggota penguat kuasa,” katanya.
Menurutnya, pasangan yang berasal dari Sungai Petani itu gagal menunjukkan sebarang bukti status mereka sebagai pasangan suami isteri atau mahram.
“Kita percaya mereka lama berkenalan dan kerap berjumpa di situ sejak pelajar perempuan itu melanjutkan pelajaran ke sebuah IPT di Jitra.
“Sementara teman lelakinya itu adalah pelajar di sebuah IPT di Sungai Petani,” katanya.
Syeikh Radzi berkata, pasangan itu dibawa ke Balai Polis Jitra untuk laporan tangkapan sebelum diambil keterangan di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP).
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
0 comments:
Post a Comment