Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, July 4, 2015

KUANTAN: PETAMA TERIMA ZAKAT RM112,000


Petama terima zakat RM112,000


Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) telah menyalurkan zakat sejumlah RM112,000 kepada Pembangunan Tamadun Orang Asli (Petama) iaitu sebuah badan yang ditubuhkan Yayasan Pahang untuk melatih masyarakat Orang Asli menyebarkan syiar Islam.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, sumbangan zakat itu diberikan bagi membolehkan pendedahan diberikan kepada orang Asli untuk memeluk Islam.

Selain zakat, Muip turut menyerahkan dermasiswa dan penyampaian sijil Petama kepada pelajar-pelajar Petama yang berjaya menamatkan pe-ngajian dan bersedia untuk menjadi pendakwah.

“Seramai 51 pelajar yang terdiri daripada 15 pelajar peringkat lanjutan dan 36 pelajar peringkat persediaan menerima sumbangan zakat masing-masing.

“Sumbangan tersebut diberikan atas kesungguhan serta ketekunan mereka dalam menjalani rukun Islam ketiga dan sebagai saudara baharu, mereka juga merupakan asnaf zakat dari kumpulan fakir miskin,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dermasiswa, Zakat dan Penyampaian Sijil Petama 2015 di Yayasan Pahang di sini, semalam.

Wan Abdul Wahid berkata, penyerahan dermasiswa ini merupakan inisiatif yang dilakukan Muip dalam usaha menggalakkan masyarakat Orang Asli mendalami ilmu agama.

“Setiap pelajar akan menerima sebanyak RM2,400. Saya harap mereka akan menggunakan wang tersebut dengan sebaik mungkin dan menjadi pendakwah yang ikhlas.

“Saya berharap usaha dakwah mereka akan berterusan dan tidak terhenti selepas menamatkan pengajian di Petama,”katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar semua yang menamatkan pengajian di Petama dapat menyebarkan dakwah mereka setelah berada di kampung halaman.

“Sebarkan dakwah kepada semua masyarakat dengan mengguna pakai ilmu yang diterima di Petama kepada insan lain,” katanya

0 comments:

share2