Seorang lelaki langsung tidak mengendahkan kesucian Ramadan apabila tergamak mencuri wang tabung masjid dipercayai untuk membeli dadah.
Perbuatan tidak bertanggungjawab lelaki berusia 26 tahun tu akhirnya memakan diri apabila dia ditahan polis ketika cuba mencuri wang tabung Masjid Gambang Damai, dekat sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, sepasukan polis melakukan tugas rondaan cegah jenayah di kawasan masjid tersebut kira-kira jam 7.30 pagi semalam sebelum ternampak seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di dalam masjid.
Menurutnya, menyedari kehadiran polis, suspek terus melarikan diri memaksa anggota bertugas bertindak mengejarnya sebelum berjaya diberkas.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku dia datang ke masjid itu untuk mencuri wang tabung bagaimanapun nasibnya kurang baik apabila berjaya diberkas sebelum sempat mendapatkan habuannya.
“Suspek juga mendedahkan bahawa dia turut berbuat demikian dua hari lalu dan berjaya mencuri wang tabung masjid itu berjumlah RM116 dengan cara menariknya keluar menggunakan dawai,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Abdul Aziz berkata, suspek juga mengaku dia seorang penagih dadah selepas terjebak dengan gejala itu sejak dua tahun lalu.
“Suspek dibawa ke balai untuk siasatan lanjut termasuk mengenal pasti kemungkinan dia terlibat dalam kes-kes kecurian wang tabung masjid sebelum ini atau penglibatan individu lain dalam kegiatan itu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment