Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, July 8, 2015

(KUANTAN) KELUARGA DIRAJA RAI ANAK YATIM

Keluarga Diraja rai anak yatim


Seramai 71 anak-anak yatim bertuah apabila diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah di Impiana Resort di sini, kelmarin.

Dalam majlis anjuran Kelab Media Pahang (KMP) dengan kerjasama Impiana Resort dan Majlis Ugama Islam Pahang (Muip), anak-anak yatim dari sekitar Kuantan, Cerating dan Indera Mahkota diraikan dalam majlis bermakna yang turut disertai tiga paduka anakanda iaitu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Muhammad Iskandar Riayatuddin dan Tengku Ahmad Muadzam.

Dalam titahnya, Tunku Azizah merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada KMP dalam usaha murni menganjurkan program itu selain menghargai resort tersebut yang telah bermurah hati menyediakan dan menaja majlis berbuka puasa tersebut.

“Terlebih dulu saya ingin menyampaikan salam takzim daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak dapat hadir ke majlis ini kerana Tengku Mahkota baru tiba di tanah air.

“Jangan ucapkan terima kasih kepada saya sebaliknya kepada kepada Impiana Resort yang telah menaja majlis ini dan KMP yang menganjurkan program ini selain Muip yang telah memperuntukkan sumbangan duit raya,” titahnya dalam majlis tersebut.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Fatimah Ghazali dan Setiausaha Majlis Ugama Islam Pahang (Muip), Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Sementara itu, bagi Ahmad Rusydi Abdul Rashid, 14 dari Kampung Permatang Badak berkata, dia sangat terharu dan gembira kerana diraikan dalam majlis yang penuh bermakna buat dirinya yang juga berpeluang bertentang mata buat kali pertama bersama keluarga diraja itu.

“Saya tidak menyangka dapat bersua muka bersama-sama Tengku Puan Pahang dan anakanda-anakanda dan dilayan dengan baik.

“Saya ingin menggunakan duit sumbangan yang diberikan untuk perbelanjaan sekolah kerana persiapan untuk Aidilfitri sudah dibeli,” katanya lagi.



0 comments:

share2