Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 21, 2015

(KUANTAN) 3 BERANAK TERIMA PENGHARGAAN POLIS


3 beranak terima penghargaan polis


“Mujur mereka berdua (anak) ada bersama, kalau tidak entah apa yang akan terjadi kepada saya dan isteri selepas berdepan tiga perompak bertopeng lengkap bersenjata ketika itu.

“Tindakan berani anak sulung, Mohd Sharifuddin Sobbri, 34 dan adiknya, Mohd Sayuti Sobbri, 25 berjaya mengagalkan cubaan perompak warga asing untuk menyamun kami sekeluarga malah dua daripada mereka berjaya diberkas dan diserahkan kepada polis,” kata peniaga pasar malam, Sobbri Harun, 55.

Menurutnya, walaupun cubaan rompakan itu berjaya digagalkan namun dia dan isteri masih trauma dan sentiasa beringat agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Sobbri dari Felda lepar Hilir 1, Gambang dekat sini dan dua anaknya itu menerima sijil penghargaan dari Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh atas keberanian mereka itu dalam satu majlis di sini, kelmarin.

Menurutnya, walaupun masih trauma namun dia bersyukur isteri dan anak-anak serta harta benda terselamat dalam kejadian yang berlaku awal pagi, Mei lalu.

“Saya juga gembira dan bangga mendapat penghargaan daripada pihak polis yang ternyata mengenang jasa atas kerjasama masyarakat awam dalam bersama-sama membanteras jenayah.

“Kami tidak mengharapkan sebarang balasan sebaliknya apa yang kami lakukan adalah untuk keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Sobbri berkata, paling penting, tindakan berani dua anak lelakinya itu bukan sahaja membantu menyelamatkan keluarga sendiri malah penahanan dua suspek itu juga turut menghalang tindakan penjenayah itu daripada menjadikan orang lain sebagai mangsa seterusnya.

Mengimbas kembali kejadian itu, Sobbri berkata, petang sebelum kejadian dia dan isteri seperti biasa pergi berniaga sup gear box di pasar malam Gambang.

“Perniagaan hari itu agak laris jadi wang tunai hasil jualan dibawa pulang dan bercadang untuk menyimpannya di bank pada hari berikutnya.

“Selepas habis berniaga saya terus pulang dan seperti biasa tidur lebih awal sebelum kami terjaga akibat dikejut dengan bunyi ketukan pintu belakang yang pada mulanya disangka anak berbuat demikian,” katanya.

Sobbri berkata, mereka terjaga kira-kira jam 3 pagi lalu isterinya bangun untuk menjenguk kerana disangka anak lelaki baru pulang.

“Sangkaan kami meleset apabila sebaik pintu dibuka, tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pisau dan pemutar skru tiba-tiba meluru masuk.

“Terkejut dengan kehadiran lelaki tidak dikenali itu, isteri saya menjerit kerana terkejut sehingga mengejutkan Mohd Sharifuddin dan adiknya, Mohd Sayuti yang sedang tidur dalam bilik masing,” katanya.

Dia berkata, menyedari cubaan rompakan itu, dua anak lelakinya bertindak pantas membelasah perompak terbabit sebelum berjaya menahan dan memberkas dua daripada suspek manakala seorang lagi berjaya melepaskan diri.

“Dalam kejadian itu dua perompak terbabit mengalami kecederaan akibat dibelasah manakala salah seorang anak saya cedera di jari dan calar di dada akibat pergelutan.

“Susulan kejadian, kami memaklumkan kejadian kepada polis sebelum menyerahkan suspek berusia 38 dan 40 tahun itu untuk tindakan lanjut,” katanya.




0 comments:

share2