Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, July 20, 2015

'KAMI REDA, TERIMA UJIAN SYAWAL'


'Kami reda, terima ujian Syawal'


Johor Bahru - Dua penghuni rumah cedera selepas rumah yang didiami di No 116 Jalan Muar Sungai Nibong, Muar, terbakar kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid Muar, Tahir Ahmad berkata, mangsa seorang lelaki warga emas, Rohani Watim, 87, dan anak lelakinya, Mahmud Rohani, 49, telah dikejarkan ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan kecemasan.

Menurutnya, selain memusnahkan rumah jenis separuh kekal, kebakaran itu turut memusnahkan dua kereta jenis Proton Saga dan sebuah motosikal yang diparkir di halaman rumah.

“Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah hari dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 25 minit kemudian.

“Selain enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid, kita turut menerima bantuan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Timah Sari,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah, Ahmad Yasin Rohani berkata, ketika kejadian bapanya sedang berehat di dalam bilik, manakala ahli keluarga lain yang pulang beraya berada di ruang dapur.

Menurutnya, kebakaran dilihat bermula dari bahagian ruang tamu rumah dipercayai dari litar pintas.

“Semua ahli keluarga yang berada di bahagian dapur ketika itu lari keluar menyelamatkan diri selepas melihat api begitu cepat marak membakar rumah kerana separuh kayu.

“Abang saya yang teringat pada ayah yang sedang tidur di dalam bilik berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan ayah.

“Walaupun abang dan ayah melecur di bahagian badan, kaki dan tangan Alhamdulillah kedua-dua mereka selamat dan telah dibenarkan keluar dari hospital,” katanya.

Katanya, mereka kini tinggal sehelai sepinggan selepas kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumahnya.

“Saya masih terkejut dan sedih dengan kejadian yang menimpa kami dalam keadaan orang yang sedang bergembira menyambut hari raya, namun saya anggap ini sebagai dugaan buat kami.

“Semoga semangat ayah kembali pulih kerana dia masih berada dalam keadaan trauma,” katanya.

0 comments:

share2