Kulaijaya – Hanya kerana minum air di dalam kelas, seorang murid tahun tiga di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Kulaijaya dirotan guru sehingga berbirat dibahagian punggung dan tapak tangan dalam kejadian 1 Julai lalu.
Bapa kepada murid terbabit, Saw Say Wei, 38 menegaskan tindakan guru pendidikan jasmani berusia 25 tahun itu melampau sekali gus tidak layak menjadi seorang pendidik.
Disebabkan insiden berkenaan, beliau yang bekerja sebagai pengurus kejuruteraan di Singapura turut mendapatkan penjelasan daripada guru besar dan merujuk kes itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulaijaya selain membuat laporan polis.
Beliau memaklumkan, guru berkenaan berjanji untuk meletakan jawatan namun masih terikat untuk berkhidmat memandangkan mendapat tajaan daripada agensi kerajaan ketika melanjutkan pelajaran.
“Saya dan isteri hanya mengetahui insiden berkenaan kira-kira jam 3 petang pada hari kejadian dan bergegas pulang dari Singapura seterusnya bertemu dengan guru besar untuk mendapatkan penjelasan.
“Kami terkilan kerana anak saya dirotan dengan alasan tidak meminta izin untuk minum air di tempat duduknya ketika guru berkenaan sedang mengajar sehingga dia dirotan seolah-olah melakukan kesalahan besar.
“Pada mulanya, guru berkenaan merotan sebanyak dua kali di tapak tangan dan arahkan anak saya berdiri di hadapan kelas sebelum merotan tiga kali lagi di punggung yang turut disaksikan murid lain,”katanya.
Say Wei berkata demikian pada sidang media, di Pusat Khidmat Adun Senai Wong Shu Qi, di Taman Indahpura, di sini, semalam. Say Wei turut ditemani isterinya, Pang Fee Yen, 38.
Disebabkan insiden berkenaan, anak sulung pasangan itu mengalami trauma untuk ke sekolah selain sakit di bahagian punggung sehingga sukar untuk duduk selama beberapa hari.
“Pada keesokan hari selepas kejadian itu, anak saya memaklumkan kepada adik ipar, guru berkenaan dipercayai berang selepas mengetahui kami telah membuat aduan kepada pihak sekolah mengenai sikapnya ketika mengajar.
“Benar memang kami ada membuat aduan kepada guru besar pada April lalu, mengenai sikapnya yang tidak bersungguh-sungguh ketika mengajar.
Malah dia tidak mengendahkan keadaan dalam kelas kerana leka dengan telefon bimbitnya.
“Mungkin dia telah mengetahui siapa yang membuat aduan dan mungkin tindakan merotan anak untuk melepaskan geram,”katanya.
Kata Say Wei, beliau juga turut membuat pemeriksaan disebabkan kecederaan dialami anaknya di Hospital Kulai dan membuat surat kepada PPD Kulaijaya mengenai salah laku guru berkenaan untuk tindakan lanjut pada 5 Julai lalu.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Johor, Aminudin Adam mengesahkan dakwaan murid tahun tiga dirotan oleh guru berkenaan adalah berasas.
“Benar insiden berkenaan berlaku , dan ia telah dirujuk kepada Lembaga Tindakan Tatatertib Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Guru berkenaan juga telah dikeluarkan daripada sekolah terbabit dan kini di tempatkan di PPd Kulaijaya. Berhubung insiden itu pihak kementerian yang akan mengenai tindakan yang akan dikenakan,”katanya.
Beliau berkata, setakat ini Jabatan Pendidikan Negeri tidak menerima sebarang surat perletakan jawatan oleh guru lelaki berkenaan.
0 comments:
Post a Comment