KUALA LUMPUR - Dalam masa satu minit sahaja, empat penjenayah yang bersenjatakan parang dan tukul besi melarikan dua dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM280,000 dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Jalan Lebuh Ampang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 petang itu, kesemua suspek menaiki dua buah motorsikal, tiga daripada mereka masuk ke dalam kedai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, dua penjenayah kemudian memecahkan kaca meja pameran, sebelum melarikkan barang kemas seperti rantai emas dan cincin.
“Senjata yang digunakan penjenayah untuk memecahkan kaca itu adalah tukul besi yang dibalut dengan kertas.
“Suspek memakai topi keledar, bersarung tangan, baju kemeja berwarna putih dan seluar panjang bewarna gelap,” katanya.
Katanya, siasatan awal melalui kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati imej tiga lelaki berkenaan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil atau menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya lagi.
0 comments:
Post a Comment