Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, July 7, 2015

GEMPA BUMI DEDAH KEPERLUAN SUMBER AIR ALTENATIF


Gempa bumi


Ranau - Gempa bumi di Gunung Kinabalu menunjukkan bahawa kawasan yang terdedah kepada bencana alam seperti Ranau, perlu mempunyai sumber air mentah alternatif.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, gempa bumi pada 5 Jun itu menjejaskan sumber bekalan air mentah yang mengalir dari Gunung Kinabalu dan menyebabkan orang ramai mengalami satu lagi tamparan apabila mereka terputus bekalan air mencukupi.

"Oleh itu, Ranau perlu mempunyai lebih banyak sumber air kerana sungai yang mengalir dari gunung yang menjadi tempat mereka bergantung, tidak lagi lestari.

"Kabinet telah mengarahkan satu kajian terperinci dijalankan, yang perlu melihat kepada keperluan wujudnya bekalan air jangka panjang dan lestari bagi Ranau," katanya.

Ongkili berkata demikian pada majlis perasmian unit rawatan air bergerak dikenali sebagai 'Nomad', yang dipasang di Sungai Kenipir di sini, yang ditauliahkan secara rasmi semalam.

Unit bergerak itu mampu membekalkan satu juta liter air sehari (1 MLD) atau 10 peratus daripada keperluan bekalan air bagi bandar Ranau.

Dengan pentauliahan itu, orang ramai boleh mengambil air terawat di unit berkenaan secara percuma.

Paip juga dipasang di tempat itu, yang terletak kira-kira 8km dari bandar Ranau, bagi membolehkan lori tangki Jabatan Bekalan Air mengisi air untuk diagihkan kepada mereka yang tinggal jauh dari situ.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ewon Ebin, Ketua Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA), Ir Noor Azahari Zainal Abidin, Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Mohd Shukri Abdul Razik dan jurutera air daerah Ranau, Anthony Jullah.

Ongkili berkata Ewon, yang juga Anggota Parlimen Ranau, akan menyelia kajian terperinci mengenai keperluan sumber air mentah Ranau.

"Kita perlu mempelbagaikan sumber bekalan air kita kerana kita terdedah kepada semua kemungkinan, memandangkan air amat penting dalam kehidupan seharian kita," katanya.

Ongkili berkata unit bergerak yang dibekalkan SPAN itu sepatutnya diletakkan dalam keadaan tunggu sedia di Ranau untuk tempoh dua bulan akan datang, tetapi atas permintaan Ewon, beliau (Ongkili) bersetuju ia digunakan berdasarkan keperluan bulan ke bulan, bergantung pada keadaan bekalan air di daerah itu.

Ewon berkata banjir lumpur yang berlaku sejak Sabtu lepas di Ranau, sekali lagi menjejaskan bekalan air dan kehadiran unit bergerak itu memberi kelegaaan kepada orang ramai, yang sebelum ini terpaksa bergantung pada air mineral botol, yang semain sukar diperoleh sekarang.

0 comments:

share2