Jelawat - Seorang pembantu kedai produk sejuk beku dan ayam goreng di pekan Jelawat berdepan detik cemas apabila diacukan pistol dalam kejadian samun yang berlaku jam 12.45 tengah hari kelmarin.
Ketika kejadian, Che Sahadira Che Soh, 33, berada di kedainya seorang diri manakala, dua lagi pembantu lain sedang berehat di bilik belakang.
Menurutnya, sejurus seorang pelanggan keluar dari premis perniagaan itu, suspek memasuki kedai dan meletakkan beg sandang di atas meja dan mengarahkannya untuk mengisi wang ke dalam beg tersebut.
“Saya tak nampak mukanya sebab dia pakai topi keledar ‘fullface’ dan memakai jaket. Mulanya saya ingatkan dia bergurau. Saya kata awak janganlah nak bergurau. Tetapi terus dia mengacukan pistol ke perut saya.
“Ketika itulah saya cemas dan menangis. Dia marah saya agar tak menangis. Saya terpaksa ikut arahan sebab diacukan pistol. Saya isikan wang not RM5 dan RM10 dalam beg tu yang bernilai RM700. Dia tak puas hati, dia suruh saya buka mesin duit. Saya kata saya tak boleh buka hanya bos yang boleh buka. Dia marah dan nak pukul saya tetapi saya sempat elak dan menjerit. Ketika itulah dua pembantu lain keluar dari bilik belakang. Suspek yang terkejut kemudiannya melarikan diri dengan wang yang diperolehi itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Che Sahadira berkata, kejadian itu berlaku amat pantas dan dia masih trauma. Malam tadi dia tidak dapat tidur lena dan demam kerana terkejut dengan kejadian itu.
Katanya, berdasarkan maklumat dari pekedai bersebelahan, suspek sudah lama memerhatikan kedai itu dari seberang jalan.
Suspek dikatakan memakai pakaian serba hitam dan menaiki motosikal EX5 berwarna merah, namun nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.
Sejurus kejadian itu berlaku dia menghubungi pengurusnya, Nik Hashim Nik Nordin untuk memaklumkan kejadian. Perkara itu dilaporkan kepada polis kira-kira jam 2 petang selepas pengurusnya tiba di premis berkenaan.
Pengurusnya, Nik Hashim berkata, itu adalah kes samun yang kedua berlaku dalam tempoh dua bulan.
Bulan lalu, premis itu kerugian lebih RM3,000 apabila pembantu kedainya dipukau oleh seorang suspek wanita.
“Saya sepatutnya datang ke sini dulu baru pergi ke Machang. Entah macam mana saya rasa nak ke Machang dahulu. Kalau saya ke sini dulu mungkin saya akan bertembung dengannya. Saya tidak menolak orang yang melakukan jenayah ini adalah mereka yang tahu operasi kami dan mungkin juga salah seorang pelanggan kami.
“Ini kejadian kedua yang berlaku. Bulan lepas pembantu kedai kami juga dipukau seorang wanita yang datang kononnya kata kami ada hutang dan pembantu kami serahkan wang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ini pun kami sudah ada jeriji luar dan bila pelanggan datang baru buka jeriji itu. Selepas ini kami akan ketatkan kawalan keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup untuk kurangkan risiko kes sedemikian,” katanya yang mempunyai 16 stokis Brother’s Nik Fried Chicken.
Premis itu yang beroperasi sejak November 2014 dibuka dari jam 10 pagi hingga 7 malam, dan disambung pula dari 8.30 hingga 10 malam.
Ia membekalkan pelbagai makanan sejuk beku dan menu ayam gunting adalah antara produk makanan siap yang dijual dari jam 4.30 petang.
Usawahan ini mempunyai 16 stokis termasuk di Machang, Pasir Mas, Pasir Pekan (Tumpat), Gaal ( Pasir Puteh), Gua Musang, Balakong (Kuala Lumpur), Kedah, Terengganu dan Perlis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan laporan kes itu dan ia disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
0 comments:
Post a Comment