Bandar Seri Jempol - Seorang bapa tidak menyangka tangisan meminta maaf anak keduanya merupakan permohonan maaf kali terakhir didengarinya apabila anaknya itu 'pergi' selama-lamanya selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14, Jalan Bahau-Rompin, kelmarin.
Mohd Zin Ibrahim, 62, berkata, anaknya Muhammad Mohd Zin, 36, dan menantunya Shahrinda Kayatin, 35, maut selepas terbabit kemalangan kira-kira jam 8.20 malam.
"Saya memang terkejut arwah tiba-tiba berkelakuan begitu minggu lepas, namun tidak terlalu memikirkannya. Arwah minta maaf sehingga menangis-nangis, dan sempat berpesan untuk mengambil wang yang dipinjam oleh kawannya nanti.
“Arwah dan isterinya yang menetap di kuarters Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) di Bahau sering pulang ke rumah saya di Felda Palong 3,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Jempol, di sini, semalam.
Mohd Zin berkata, dia hanya mengetahui kejadian menimpa anak dan menantunya apabila dihubungi seseorang menggunakan telefon bimbit arwah.
“Selepas ini saya akan mengambil tanggungjawab menjaga anak-anak arwah. Arwah seorang yang sangat mengambil berat terhadap keluarga dan kejadian ini merupakan ujian besar kerana anak-anaknya masih kecil tambahan pula sambutan Aidilfitri semakin hampir,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua jenazah yang meninggalkan empat cahaya mata perempuan berusia 9 hingga 17 tahun itu akan dikebumukian di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong 3, di sini.
Sementara itu, Ketua polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Bahau menghala Rompin.
"Kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta jenis Proton Iswara dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan merempuh pasangan suami isteri terbabit.
“Pertembungan ini mengakibatkan mangsa tercampak ke bahu jalan dan maut di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat," katanya.
Hamzah berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 comments:
Post a Comment