Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, June 18, 2015

TIGA TAHUN PUASA SETENGAH HARI


Tiga tahun puasa setengah hari


Labis - Selepas menerima hidayah untuk memeluk Islam lapan tahun lalu, kedatangan Ramadan sentiasa dinantikan sebuah keluarga saudara baharu di Kampung Sawah Baru, di sini.

Mohd Mokhtar Lim Abdullah, 39, berkata, sebelum memeluk Islam pada 2007, dia memperuntukkan masa hujung minggunya selama empat bulan untuk mengikuti kelas agama di Pejabat Agama Islam Johor Bahru.

“Ketika itu, saya bekerja di Johor Bahru dan memeluk Islam di Masjid Besar Tampoi tanpa pengetahuan keluarga. Saya memang sudah lama tertarik dengan Islam kerana dibesarkan di kampung Melayu di Sungai Karas dan ramai kawan-kawan Melayu.

“Selepas keluarga di kampung mengetahui saya telah memeluk Islam, mereka meamat marah dan mula memulaukan saya. Paling kecewa dengan keputusan saya ketika itu ialah nenek, kerana dialah yang membesarkan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, selepas berkahwin dengan isterinya, Nurulhidayah Abdullah, 28, pada 2012 yang juga seorang saudara baharu, dia nekad pulang ke Labis untuk mengambil kembali hati keluarganya sebelum dikurniakan seorang zuriat, Alexa Sofiya Lim, 1 bulan.

Mohd Mokhtar berkata, dia terpaksa mengambil masa untuk memujuk ahli keluarganya.

Namun, berkat kesabaran, akhirnya keluarga kembali menerima dirinya dan cara hidupnya sebagai seorang Muslim.

Menurutnya, dia tidak boleh melupakan pengalaman kali pertama berpuasa penuh pada 2011 kerana ketika itu dia tidak pernah berpuasa.

“Pada tiga tahun pertama selepas memeluk Islam, saya hanya mampu berpuasa setengah hari kerana tidak dapat menahan diri daripada lapar dan dahaga.

“Selepas tiga tahun dan sehingga kini saya mula berpuasa penuh. Isteri yang memeluk Islam pada 2011 juga tiada masalah untuk berpuasa penuh dan dia juga dengan mudah dapat menerima cara hidup Islam,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, bagi mendalami Islam, dia dan keluarganya membuat keputusan untuk berpindah ke Kampung Sawah Baru, di sini, kira-kira sebulan lalu kerana merasakan persekitaran kampung itu mendamaikan.

Menurutnya, rumahnya yang terletak berhampiran masjid juga memudahkan dia dan keluarganya untuk beribadah sepanjang Ramadan ini dan penduduk kampung juga menerima kehadirannya dengan hati terbuka.

“Bagi menyara keluarga, saya kini membuka kedai secara kecil-kecilan di sini dan pada masa sama memfokuskan kerjaya saya sebagai penggiat seni dan kraf tradisional.

“Saya juga kini sedang menyumbang sebuah mural di sekolah kebangsaan di kampung ini,” katanya.

0 comments:

share2