Ranau - Kira-kira 15,000 penduduk sekitar daerah ini telah mendapat semula bekalan air terawat bermula hari ini .
Dua loji rawatan air iaitu Lipasu dan Kimolohing telah mula merawat air mentah pada jam 6 petang semalam dan seterusnya mula disalurkan kepada penduduk pada 12 tengah malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah, Teo Chee Kong berkata, pada masa sekarang lebih kurang lapan juta liter air setiap hari dibekalkan di sekitar daerah ini dan penggunaan harian adalah 14 juta liter setiap hari.
Katanya Hospital Ranau, kedai di Pekan Ranau dan sekolah sudah mula menerima bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air Kimolohing.
"Enam puluh peratus air sudah pulih untuk bekalan air di sekitar daerah ini, manakala empat puluh peratus lagi penggunaan bagi kawasan jauh seperti di Kampung Lohan dan Bandukang (masih belum pulih)," katanya ketika ditemui di Loji Rawatan Air Bambangan di sini, hari ini.
Menurutnya penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki dilakukan di kawasan berkenaan dan penduduk kampung juga mempunyai alternatif lain mendapatkan bekalan air dari punca air graviti.
Beliau berkata, Jabatan Air Ranau akan membina satu depot air di Loji Air Bambangan bagi memudahkan pengambilan air tanpa perlu ke kawasan lebih jauh.
0 comments:
Post a Comment