Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, May 22, 2015

RMK11 DIJANGKA MAMPU BAIKI KEHIDUPAN RAKYAT


Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah


Kuala Lumpur - Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tempoh 2016 hingga 2020 itu bakal menjadi medan untuk kerajaan membetulkan taraf hidup rakyat yang masih rendah.

‎Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kehidupan rakyat masih pada tahap yang sangat rendah, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

"Saya sangat optimis kita akan mencapai sasaran. Untuk ekonomi rakyat pula, apabila kita lihat di bandar dan luar bandar, ada yang standard hidupnya sangat rendah sama ada orang bujang ataupun yang telah berkahwin.

"Saya fikir melalui RMK11, kita boleh betulkan ini. Kita kena terima hakikat bahawa kos hidup akan terus meningkat. Tidak mungkin menurun. Jadi, rakyat kena ada pendapatan lebih. Jadi, saya harap dengan inisiatif yang dijalankan kerajaan ini, rakyat akan mencapainya. ," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pembentangan RMK11 di Dewan Rakyat, semalam.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hassan Malek berkata segala perancangan kerajaan itu memerlukan komitmen bukan sahaja dari kalangan penjawat awam malah termasuk rakyat sendiri bagi menjayakannya.

"Pelaksanaan ini perlukan komitmen yang penuh bukan sahaja dari kalangan anggota kerajaan tapi juga daripada rakyat sendiri.

"Kejayaan RMK11 ini boleh berjaya apabila ada perpaduan, kesepakatan dan komitmen yang jujur dan ikhlas. Saya yakin kalau semua ini dapat dilaksanakan ‎secara jujur, insya-ALLAH hasrat kita untuk melihat tahun 2020 akan tercapai," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata,‎ RMK11 merangkumi semua sektor itu tetap mengutamakan golongan belia termasuk dari segi perumahan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri. Dalam RMK11 ini nak ke hadapan, mesti kita buat pelaburan yang besar‎ untuk generasi muda yang akan jadi aset untuk masa hadapan.

"Saya melihat banyak pengkhususan terutamanya daripada segi latihan, pekerjaan, pendidikan juga perumahan...yang ini di luar skop Kementerian Belia dan Sukan tetapi kita melihat bahawa setiap sektor besar ada pengkhususan untuk belia," katanya.

0 comments:

share2