Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 3, 2015

#PRKRompin: TIADA TSUNAMI MELAYU, KATA HISHAMMUDDIN


 Tiada tsunami Melayu, kata Hishammuddin


Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yakin tidak akan berlaku tsunami undi Melayu terhadap BN pada PRK Rompin pada 5 Mei ini.

Penyelaras jentera pilihan raya BN bagi PRK parlimen tersebut menyifatkan, andaian itu sekadar ‘perang saraf’ pihak pembangkang untuk melemahkan jentera BN, selain mahu meraih sokongan pengundi.

“Ini hanya perang saraf yang dicetuskan pihak tertentu untuk memberi gambaran negatif terhadap BN, namun ia tidak sedikit pun mengganggu gugat jentera kita...kita lihat nanti pada hari pengundian kerana ia menjadi penentu sekali gus menjawab segala persoalan itu,” katanya
selepas menghadiri majlis perasmian Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Kampung Tekek.

Pusat internet kelapan dibangunkan di daerah Rompin itu, dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan bagaimanapun mengingatkan jentera BN agar tidak mengambil mudah PRK ini walaupun parti itu pada PRU13 memperoleh jumlah majoriti undi yang tinggi.

Katanya, terdapat pihak yang akan sentiasa cuba menggugat kestabilan, keharmonian dan pembangunan yang diusahakan kerajaan sedia ada demi mencapai matlamat peribadi.

“Saya sudah mengarahkan setiap jentera supaya lebih menumpukan Pusat Daerah Mengundi, malah saya sendiri berbuat demikian kerana tempoh berkempen hanya berbaki empat hari saja lagi. Kita perlu memastikan pengundi turun mengundi pada 5 Mei nanti,” katanya.

Hishammuddin berkata, rakyat yang majoritinya inginkan keamanan dan kesejahteraan hidup perlu memainkan peranan dengan keluar mengundi dan memilih parti yang diyakini mampu membawa Malaysia menjadi negara maju.

0 comments:

share2