Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, May 9, 2015

POLIS SIASAT SIAPA PENULIS NOTA



Putrajaya: Wanita yang ditemui mati di bawah jambatan susur keluar Putrajaya di Cyberjaya Rabu lalu dipercayai sudah meninggal dalam tempoh 24 jam sebelum ditemui.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Abdul Aziz Ali berkata, pihaknya juga menemui beberapa petunjuk baru, sekali gus yakin dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan, tetapi pihaknya percaya perkembangan positif yang ditemui dalam siasatan dapat menyelesaikan kes berkenaan.

“Ada beberapa perkara sedang diambil tindakan, tetapi kita tidak boleh memaklumkannya lagi sekarang. Bagi kami masa untuk melengkapkan siasatan sebelum memaklumkan perkembangan terkini kes ini.

“Setakat ini, tiada tangkapan lain kecuali seorang lelaki yang juga tunang mangsa. Lokasi mangsa dibunuh juga sudah dikenal pasti iaitu diluar Cyberjaya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Mengenai nota bunuh diri yang ditemui bersama mayat mangsa, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat siapa yang menulis.

“Kami juga sedang menyiasat perkara ini. Insya-Allah dalam masa terdekat kami akan memaklumkan hasil siasatan,” katanya.

Rabu lalu, mayat Rosshida Abdullah, 30 ditemui orang ramai dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian dibawah jambatan berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Turut ditemui bersama mayat ialah beg tangan, kad pengenalan dan sekeping nota bertaip yang antara lain menceritakan masalah dihadapi termasuk tertekan kerana diburu along akibat berhutang sebanyak RM50,000.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa dicekik terlebih dahulu sebelum dicampak dari jambatan yang tingginya 14 meter

Kelmarin, seorang lelaki yang mendakwa tunang mangsa direman tujuh hari untuk membantu siasatan, selepas ditahan pihak polis di sekitar Cyberjaya.




0 comments:

share2