Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, May 17, 2015

PENCEMARAN LEBIH 30 TAHUN BERAKHIR


Pencemaran lebih 30 tahun berakhir


Kota Bharu - Lebih 30 tahun keselesaan hidup penduduk di Lorong Kubur Tanjung, Berek 12 di sini terganggu lantaran sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang menjadikan laluansepanjang 20 meter di kawasan itu sebagai tempat pembuangan sampah.

Pelbagai inisiatif dilakukan penduduk untuk mengatasi masalah tersebut yang bukan sahaja merentap keselesaan dan keharmonian hidup mereka, sebaliknya mengundang berbagai penyakit akibat pembuangan sisa pepejal tidak sistematik.

Bagaimanapun, usaha dilakukan warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Chat untuk menghapuskan tapak pembuangan sampah haram itu memberi nafas baru buat penduduk di situ apabila tidak lagi diancam bau kurang menyenangkan.

SMK Tanjong Chat yang terpilih mewakili Kelantan dalam Pertandingan Projek Alam Sekitar peringkat Kebangsaan, Toyota Eco Youth (TEY) 2015 terpanggil membantu menyelesaikan masalah yang berlanjutan lebih suku abad itu apabila mendapati ia tidak berkesudahan.

Berbekalkan semangat dan iltizam yang cukup kuat untuk memastikan masalah itu berjaya diatasi sebaiknya, warga SMK Tanjung Chat yang diterajui, Mat Zain Mahmood, mereka akhirnya berjaya mengubah wajah lorong tersebut menjadi laluan lebih indah.

Mat Zain berkata, sekolah tersebut diberi kepercayaan oleh Jabatan Pendidikan Negeri terpilih mewakili negeri ke TEY 2015 yang bertujuan membina kemahiran serta memberikan pandangan dan sumbangan secara terbuka untuk kebaikan diri dan masyarakat setempat.

“TEY merupakan program kerjasama UMW Toyota Motor dengan Kementerian Pendidikan Malaysia yang berkonsepkan inovasi, dan tahun ini bertemakan 3R (Reuse, Recycle, Reduce).

“Dalam memacu tema 3R ini sekolah pada asalnya mengenal pasti lima lokasi untuk dipulihkan sesuai dengan tema ditetapkan ini, tetapi selepas pemantauan daripada UMW Toyota Motor kita memilih Lorong Kubur Tanjong sebagai kawasan sasaran,” katanya.

Mat Zain berkata, walaupun pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menyelesaikan masalah tersebut, namun disebabkan tempat pembuangan sampah itu merupakan
hak persendirian, ia agak terhalang.

“Kita kenal pasti kawasan ini, dan dapati pemilihannya sangat sesuai selepas mendapati longgokan sisa buangan ini menimbulkan masalah kesihatan kepada penduduk sekitar terutama bau busuk dan pembiakan serangga yang menyumbang kepada penyakit,” katanya.

Menurutnya, sekolah dengan kerjasama semua pihak berusaha memulihkan kawasan ini bukan sahaja menghentikan kegiatan membuang sampah di kawasan tersebut tetapi menggantikannya dengan satu kawasan rekreasi yang menarik.

0 comments:

share2