Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 20, 2015

OKU RENTUNG DALAM BILIK TIDUR


OKU rentung dalam bilik tidur


Pasir Puteh - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) rentung, manakala seorang warga emas berusia 110 tahun berjaya diselamatkan dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Lepah, Selising dekat sini, petang kelmarin.

Mangsa, Zulkifli Abdullah, 38, ditemui rentung di bilik tidurnya selepas api berjaya dipadamkan anggota bomba dan penyelamat, kira-kira jam 5.57 petang.

Bapa mangsa, Abdullah Ahmad, 63, berkata, dia mendengar jeritan terakhir Zulkifli yang meminta pertolongan untuk keluar selepas terperangkap di bilik tidurnya yang sedang terbakar.

“Jeritan suaranya seperti masih kedengaran hingga sekarang dan lebih sedih apabila menyaksikan sendiri mayatnya yang rentung dibawa keluar daripada sisa kebakaran,” katanya.

Menurutnya, usaha telah dilakukan untuk membawa keluar Zulkifli dari bilik tidurnya, namun api merebak dengan cepat.

Katanya, dia mendengar arwah menyebut ALLAH dengan nada panjang sebelum bilik tidurnya hangus.

Namun Abdullah berkata, dia tetap bersyukur kerana ayahnya, Mat Il Mat Akib, 110, yang berada di ruang tamu rumah berkenaan sempat diselamatkan oleh jiran.

Menurutnya, selain kehilangan nyawa anak kedua daripada tiga beradik, wang tunai yang disimpan oleh Mat Il di dalam lipatan kain pelikat berjumlah RM10,000 turut hangus.

“Wang itu elaun bulanan yang diterimanya daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak beberapa tahun lalu, kerugian keseluruhan dianggarkan RM100,000,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Perubatan Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat dan dituntut keluarga jam 10 pagi semalam, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lepah.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.28 petang.

“Seramai 11 anggota bersama dua jentera dari Pasir Puteh dan Ketereh berjaya mengawal kebakaran dalam masa lima minit,” katanya.

Kebakaran melibatkan dua rumah papan milik Abdullah dan menantunya, Zaira Zakaria, 38, yang hangus keseluruhan, manakala rumah banglo jirannya, Saufe Ismail, 47, hangus 30 peratus.

0 comments:

share2