Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 21, 2015

MBFP ANJUR EKSPLORASI BERAKIT SUNGAI PAHANG


sungai


Program Eksplorasi Berakit Sungai Pahang anjuran Majlis Belia Felda Negeri Pahang (MBFP) pada 29 Mei ini bakal menyajikan pelbagai cabaran kepada 450 pesertanya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun berkata, program tiga hari yang disertai majoritinya generasi kedua Felda itu bertujuan memperkasakan peserta selain menghidupkan kembali aktiviti berakit Sungai Pahang.

"Para peserta akan berakit bermula dari Kampung Salong, Chini sehingga ke Kampung Kiambang, Ganchong sebelum terus menyusuri sehingga ke Dataran Waterfront Bandar Pekan.

"Difahamkan, kedalaman sungai yang akan dilalui peserta agak cetek dan ini akan menguji kesabaran, kekuatan mental dan kemahiran peserta dalam mengendalikan rakit mereka untuk sampai ke destinasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, eksplorasi itu pastinya akan memberi pengalaman berharga kepada generasi kedua Felda terutama bagi mereka yang tidak biasa dengan aktiviti berkenaan.

Abu Bakar yang juga Adun Chini berkata, program pertama kali yang diadakan MBFP ini mungkin akan dijadikan acara tahunan sekiranya menerima sambutan hangat daripada semua pihak.

"Program eksplorasi ini tidak hanya tertumpu kepada berakit tetapi turut mempunyai pengisian bermanfaat kepada masyarakat setempat seperti program ziarah kasih Dun Chini, Bebar dan Pulau Manis.

“Ia mampu mengeratkan hubungan MBFP dengan masyarakat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan sekali gus membina imej belia Felda dalam komuniti lain," katanya.

0 comments:

share2