Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 19, 2015

KUANTAN: WANITA TRAUMA DUA KALI DIRAGUT



Seorang wanita trauma apabila diragut dua lelaki bermotosikal ketika ingin melawat rakannya di KPJ Healthcare Berhad (KPJ) di sini, awal pagi semalam.

Apa yang menyedihkan dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa, Cheong Wei Fun, 40, cedera di lutut dan kedua belah tapak tangannya akibat terjatuh.

Katanya, dia menyedari ada mendengar bunyi enjin motosikal selepas keluar dari kenderaan, namun tidak menyangka dua lelaki bermotosikal itu akan bertindak meragutnya.

“Saya baru keluar dari kenderaan dan cuba mengalih beg tangan dari kiri ke bahu kanan, namun perompak tersebut sempat meragut beg tangan dan sehingga saya terjatuh.

“Selepas terjatuh, saya cuba bangun dan mengejarnya tetapi tidak berjaya,” katanya ketika ditemui di lorong Seri Kuantan 99 di sini, semalam.

Menceritakan detik cemas itu, Wei Fun memberitahu ketika kejadian dia berjalan seorang diri menuju ke KPJ untuk melawat kawan, namun tidaklah berkesempatan apabila menjadi mangsa ragut.

“Saya telah kehilangan telefon bimbit, wang tunai RM600, beg tangan dan dompet berjenama yang dianggarkan berjumlah hampir RM6,000.

“Pada masa itu saya terkejut dan tidak dapat berbuat apa-apa. Namun berterima kasih masih ada yang prihatin dan membantu saya,” katanya.

Wei Fun berkata ini merupakan kejadian kedua yang dialami dan membuatkan dia trauma untuk keluar rumah selepas ini.

“Sebelum ini, kejadian yang sama berlaku ketika saya baharu balik dari klinik di Jalan Bukit Ubi,” katanya dengan nada yang sedih.

Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuantan selepas kejadian itu berlaku. 

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang meminta agar pihak polis mengadakan pemantauan di lorong Seri Kuantan 90 hingga 98 kerana dilaporkan banyak kes ragut.

“Kita memandang serius tentang perkara ini kerana dalam sebulan hampir 3 hingga empat kejadian sama berlaku.

“Namun kita tidak dapat pastikan sama ada mangsa membuat laporan polis atau sebaliknya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan agar mangsa yang mengalami kejadian yang sama tampil membuat laporan polis bagi memudahkan penguatkuasaan itu menjalankan pemantauan.

0 comments:

share2