Persatuan Karate Do Gi Toku Kai Negeri Pahang menempa sejarah tersendiri selepas berjaya memenangi tempat kedua 14 pasukan yang bertanding pada Kejohanan Karate Terbuka Goshin Ryu 2015 awal Mei lalu.
Persatuan itu memperoleh 30 pingat dengan lapan emas, sembilan perak dan 13 gangsa melalui 20 atletnya pada kejohanan berprestij itu yang diadakan di Kip Mart Senawang, Negeri Sembilan.
Ketua Jurulatih pasukan Karate-do Gi Toku Kai negeri, Sensei Mikail Leong Abdullah berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian berkenaan dan semangat yang ditunjukkan kesemua atletnya.
Beliau berkata, kejohanan itu memberi pendedahan kepada semua atlet sebagai persiapan menghadapi 16th Malaysian Milo Karate Championship 2015 pada 16 dan 17 Mei depan.
“Kesemua atlet kini sedang meningkatkan latihan sempena kejohanan itu dan berharap dapat mengutip lebih banyak pingat sebagai hadiah di atas usaha yang sudah dilakukan,” katanya di sini, semalam.
Katanya, kejayaan dan usaha itu turut mendapat sokongan Majlis Sukan Pahang, Jabatan Belia dan Sukan negeri, Jabatan Pendidikan, Persatuan Karate Pahang dan Majlis seni Mempertahankan diri.
Menurutnya, jurulatih dalam persatuan itu juga sentiasa memberi komitmen terbaik bagi memastikan peningkatan atlet.
Sensei Mikail juga berbangga kerana pasukannya turut memenangi 2nd Legends Karate Internasional Championship Malaysia April lalu dengan mengalahkan 26 pasukan lain dari seluruh dunia yang bertanding.
“Kita berjaya mengutip 34 pingat keseluruhannya dengan 13 emas, 10 perak dan 11 gangsa,” katanya.
0 comments:
Post a Comment