PUTRAJAYA, 11 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan menerang dan membentangkan kepada rakyat tentang manfaat yang dinikmati mereka daripada hasil tambahan pendapatan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, kerajaan perlu mencari hasil yang lebih mantap untuk kewangan negara antaranya dengan memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).
Najib berkata kerajaan perlu yakin untuk membuat keputusan walaupun hasilnya tidak dapat dilihat dalam jangka pendek tetapi hanya pada jangka panjang dan sederhana panjang.
"GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) mungkin tidak popular pada jangka pendek. Kalau boleh memperbaiki pelaksanaan cukai itu dengan ambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab naik harga dan memberi penjelasan tambahan kepada rakyat," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, Isnin.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata apabila hasil pendapatan bertambah, kerajaan akan menerangkan kepada rakyat secara telus kerana rakyat hendak tahu penggunaan pendapatan negara itu.
"Nanti, saya akan bentangkan kepada rakyat, bahawa duit tambahan ini, kita akan menggunakan untuk kebaikan rakyat dan negara. Ini saya hendak memberi jaminan bahawa itulah sebenarnya hasrat kerajaan.
"Apabila keadaan kita lebih kukuh, pasaran yakin kepada ekonomi negara kita, kita ada punca tambahan, kita boleh mara ke hadapan," katanya.
Najib berkata kerajaan telah menambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini bagi mengurangkan kos harga barang naik dan mengurangkan kadar cukai perseorangan.
"Untuk kita lakukan semua ini, kita perlu ada punca kewangan yang boleh mengukuhkan lagi pendapatan negara," katanya sambil menambah beliau akan membentangkan Rancangan Malaysia ke-11 pada 21 Mei ini yang menggariskan perancangan kerajaan untuk lima tahun akan datang.
Najib berkata untuk menjadi negara yang kompetitif dan negara ekonomi berpendapatan tinggi, cukai korporat perlu diturunkan seperti dilakukan Thailand dan Singapura yang masing-masing telah menurunkannya kepada 20 peratus dan 17 peratus, selain menurunkan cukai perseorangan.
Kadar cukai korporat semasa Malaysia kini ialah 25 peratus.
Najib menarik perhatian apabila berkata sejak beliau mengambil alih pucuk kepimpinan negara pada 2009, kerajaan pada setiap tahun tidak pernah gagal untuk mengurangkan kadar defisit negara.
"Apabila saya ambil alih kepimpinan, defisit negara adalah 6.6 peratus. Setiap tahun tanpa gagal dan secara konsisten, kadar defisit dapat dikurangkan kepada 3.5 peratus tahun lepas. Ini menunjukkan kita berada di landasan untuk capai bajet berimbang 2020," katanya.
Najib berkata kerajaan perlu yakin dengan apa yang dilaksanakan telah mencapai keberhasilan dan daya saing negara juga bertambah.
"Yakinlah kalau kita teruskan usaha apa yang dilakukan, perbaiki kelemahan lain dan kita bekerja sebagai pasukan.
"Kalau ada masalah lain dalam tempoh itu, beri tempoh untuk selesaikan, dan saya yakin ia dapat diselesaikan dengan syarat kita bersama sebagai satu keluarga. Yakinlah apa yang kita impikan boleh diselesaikan," katanya.
--BERNAMA
0 comments:
Post a Comment