Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 21, 2015

KUANTAN: PENGAMAL MEDIA UTAMAKAN ETIKA KEWARTAWANAN


Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah


Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan agar pengamal media di negeri ini menitikberatkan sikap profesional serta harus berpegang kepada etika kewartawanan iaitu melaporkan berita dengan telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Baginda bertitah, pengamal media perlu sentiasa melaporkan sesuatu berita itu dengan lebih telus, sahih dan berdasarkan fakta, serta tidak menulis berita tanpa usul periksa atau melalui khabar angin.

Titah baginda, pengamal media arus perdana khususnya kini turut berdepan cabaran dan terpaksa bersaing dengan media alaf baharu yang menggunakan media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp dan Twitter dalam menyebarkan berita-berita terkini yang mana ia menjadi viral dalam sekelip mata, berbanding media arus perdana.

Baginda bertitah: "Namun, ia bukan alasan untuk pengamal media untuk mengabaikan etika kewartawanan dalam penulisan mereka, walaupun dihambat waktu dan berlumba-lumba untuk menghasilkan berita, ia perlulah tepat.

Perkara ini bukan hanya dikhuatiri memberi persepsi negatif kepada media arus perdana malah ia mampu mempengaruhi pemikiran rakyat terhadap sesuatu isu berbangkit."

"Dengan melaporkan berita yang tepat dan sahih, ia dapat menangkis berita-berita yang dihasilkan oleh sesetengah media alaf baru atau alternatif, yang sering mengabaikan elemen sumber yang sahih, hanya menulis berdasarkan khabar angin dan pendapat sendiri semata-mata," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis Anugerah Media Pahang – DRB HICOM dan penyerahan bendera negeri Pahang kepada anggota Kelab Rekreasi Media Pahang yang akan menyertai misi mendaki Gunung Kerinchi, Indonesia Jun depan, dekat sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Hussin.

Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada anugerah yang julung kali diadakan iaitu Anugerah Kewartawanan Media Pahang, Penulisan Bahasa Melayu, Inggeris dan Bahasa Cina Terbaik, Penulisan Berita Sukan Terbaik, Fotografi Minat Insani,

Fotografi Berita dan Sukan, Laporan Berita TV Terbaik, Laporan Videografi TV Terbaik dan Penyampai Radio Terbaik.

0 comments:

share2