Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 13, 2015

KUANTAN : ORANG ASLI PERLU LEBIH PEKA SOAL KESIHATAN

Orang Asli perlu lebih peka soal kesihatan



Penduduk di kawasan perkampungan Orang Asli dinasihatkan agar lebih peka terhadap kesihatan diri dengan meluangkan masa menjalani pemeriksaan kesihatan.

Setiausaha Jabatan Amal Pas Pahang, Mohd Aidil Firdauz Mohamad Nasir berkata masih ramai masyarakat Orang Asli belum peka dengan kesihatan kerana kurangnya pendedahan tentang pentingnya menjaga kesihatan.

“Atas alasan itu, masyarakat Orang Asli kurang prihatin soal status kesihatan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, langkah pencegahan awal perlu diambil bagi memastikan taraf kesihatan seseorang itu berada dalam keadaan baik dan bebas daripada sebarang penyakit.

“Saya percaya dengan adanya penganjuran sebegini dapat memberi kesedaran dalam mengamalkan cara hidup sihat selain mengesan tahap kesihatan mereka,” katanya.

Mohd Aidil Firdauz berkata program ini anjuran bersama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) turun padang bagi menjalankan pemeriksaan penduduk Orang Asli di kawasan Kampung Tanam, di sini, bagi mengetahui status kesihatan masyarakat itu.

Pemeriksaan kesihatan itu merangkumi perkhidmatan mengesan penyakit diabetes, darah tinggi, kaunseling dan sebagainya kepada masyarakat setempat.

“Seramai 30 penduduk yang hadir menjalani pemeriksaan kesihatan terutamanya warga emas, bayi, kanak-kanak dan wanita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merancang untuk mengadakan lagi program yang sama pada masa akan datang bagi mendekatkan diri dengan masyarakat Orang Asli.

Mohd Aidil Firdauz juga memaklumkan pihaknya sedang berusaha mencari dana bagi menjalankan misi dakwah.

“Kita perlu dana untuk mengislamkan mereka dengan menjalankan beberapa tindakan susulan agar mereka terus mengamalkan Islam,” katanya.




0 comments:

share2