SHAH ALAM - Pemuda Umno mengecam tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana menyanggah pelaksanaan hudud dan pada masa sama dilihat cuba mengajar rakyat Kelantan berhubung hukum itu dalam ceramah yang berlangsung Ahad lalu.
Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin mendakwa, perbuatan Kit Siang itu jelas menunjukkan beliau sebenarnya seorang yang biadab dan tidak tahu adab.
"Kit Siang bukan individu yang layak untuk memperkatakan tentang undang-undang Islam, apatah lagi mengajar masyarakat perkara berkaitan hudud.
"Tindakannya itu sengaja mahu mencetuskan provokasi kerana beliau sebelum ini antara pemimpin DAP yang paling lantang menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam ceramah anjuran Pas Kawasan Kota Bharu di Padang Perdana baru-baru ini, Kit Siang menyanggah pelaksanaan hudud di Kelantan dan mempersoalkan komitmen kerajaan negeri di hadapan kira-kira 1,000 penyokong Pas.
Ceramah tersebut turut dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Yang Dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Menurut Nazir lagi, tindakan Kit Siang itu tidak akan berlaku sekiranya pemimpin atau ahli Pas di kawasan itu tidak membenarkan pemimpin veteran itu memperlekehkan undang-undang Islam di hadapan umum.
"Mohamad Sabu juga sanggup menjadi pak pacak apabila hanya berdiam diri ketika Kit Siang menyanggah pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan dan beliau sepatutnya berasa malu dengan diri sendiri kerana menjadi petualang agama.
"Apakah seperti ini yang diharapkan dapat menegakkan syiar Islam kerana beliau sendiri takut atau tunduk dengan kehendak pemimpin DAP yang jelas menentang hukum hudud," katanya lagi.
Mengulas perkara sama, Nazir turut menambah, Pemuda Umno ingin menasihatkan Kit Siang agar tidak bersikap kurang ajar dengan menyentuh mengenai hukum Islam dan memperlekehkan usaha melaksanakan hukuman itu di negara ini.
Tambah beliau, Pemuda Umno juga mengecam sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam oleh pemimpin bukan Islam yang tidak tahu menghormati agama ini dan memberi amaran kepada Kit Siang agar tidak lagi bercakap mengenai hukum hudud.
0 comments:
Post a Comment