Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 7, 2015

JENAZAH NOR ARTIKAH DIBAWA PULANG HARI INI


Jenazah Nor Artikah dibawa pulang hari ini


Kuala Terengganu - Jenazah pelajar Malaysia, Nor Artikah Alias, 25, yang merupakan salah seorang daripada mangsa dalam kejadian kebakaran di Moscow, Rusia pada 22 April lalu, dijangka dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Pelajar semester akhir jurusan perubatan di Russian National Research University itu disahkan meninggal dunia, kelmarin, pada jam 11 pagi setelah bertarung nyawa selama dua minggu, kesan kecederaan yang dialami.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, jenazah pelajar tajaan Yayasan Terengganu (YT) itu akan dibawa pulang dengan penerbangan Emirates dari Moscow ke Dubai, sebelum ke Kuala Lumpur.

“Kita mempunyai dua alternatif jadual penerbangan dari Moscow ke Dubai dan Dubai ke Kuala Lumpur.

"Kita jangka jenazah akan dibawa pulang esok (hari ini) iaitu jam 12.05 tengah malam waktu Rusia (5.05 pagi di Malaysia) dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 9.45 malam (waktu Malaysia) esok (hari ini).

"Ini penerbangan terawal sekiranya dokumentasi siap," katanya pada sidang media khas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Menurutnya, sekiranya dokumentasi tidak dapat siap dalam masa terdekat, alternatif penerbangan untuk membawa pulang jenazah adalah hari ini jam 4.55 petang waktu Rusia (9.55 malam waktu Malaysia) dari Moscow ke Kuala Lumpur melalui transit di Dubai selama tiga jam dan dijangka tiba pada jam 1 pagi hari Jumaat.

Jelas Ahmad Razif, insurans yang ditaja YT hanya boleh menampung kos perubatan hospital dan sekiranya meninggal dunia, insurans tersebut hanya menanggung kos pengebumian di Rusia sahaja.

Sekiranya jenazah ingin dibawa pulang, kos tersebut tidak akan ditanggung insurans.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri mengambil inisiatif untuk menanggung segala kos pengangkutan membawa pulang jenazah ke Malaysia untuk dikebumikan di Kampung Bukit, Jeram Linang, Pasir Puteh, Kelantan.

“Selepas jenazah dituntut di hospital dan urusan dokumentasi telah siap, solat jenazah akan diadakan di Moscow bersama pelajar Malaysia dan pihak kedutaan manakala majlis tahlil sudahpun diadakan semalam (kelmarin).

“Kos untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia dari Moscow adalah sebanyak RM10,000. Setibanya di Kuala Lumpur, YT akan menyambut jenazah pelajar berkenaan dengan sebuah van jenazah dan diiringi dua kereta pengiring dari YT untuk dikebumikan di Jeram Linang, Kelantan,” katanya. - Al-Fatihah

0 comments:

share2