Dungun - Dua pemuda dikhuatiri hilang ketika mencari kayu di kawasan hutan Bukit Jabal di sini selepas empat hari gagal pulang ke rumah mereka.
Mohd Faizal Abdul Wahab, 29, dari Kampung Che Lijah dan Mohd Norfarham Mustaffa Harun, 28, dari Kampung Bukit Lat, masuk ke hutan berkenaan untuk mencari kayu candang sejak Ahad lalu.
Bapa Mohd Faizal, Abdul Wahab Jusoh, 58, berkata dua bersaudara itu masuk ke hutan tebal terbabit kira-kira pukul 9 pagi Ahad lepas namun sehingga kini tidak pulang ke rumah.
Katanya mereka berdua biasanya masuk ke kawasan hutan seluas 30 kilometer itu dan tidak pernah bermalam di kawasan hutan terbabit.
"Biasanya mereka masuk pagi dan keluar pada waktu petang namun kini sudah empat hari tidak pulang. Saya tidak dapat tidur lena memikirkan nasib anak saya dan sepupunya di dalam kawasan hutan tebal itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Wahab kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun kira-kira pukul 1 pagi ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun Superitendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu dan melancarkan gerakan mencari kedua-dua pemuda berkenaan.
0 comments:
Post a Comment