Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 27, 2015

#PRKRompin: TIGA PROJEK PR1MA DILANCARKAN


PR1MA


Kerajaan Pahang akan melancarkan tiga projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan jumlah keseluruhan 680 unit rumah di Parlimen Rompin pada 4 Mei ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sebanyak 260 unit PR1MA akan dibangunkan di Sungai Puteri, 260 unit di Muadzam Shah dan 160 unit lagi di mukim Pontian di sini.

"Projek di bawah kerajaan negeri Pahang ini akan ditawarkan kepada pembeli dengan harga RM150,000 seunit," katanya pada majlis penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang (HPC) dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) oleh Yayasan Pahang di sini semalam.

Adnan berkata, kerajaan Pahang juga akan memperuntukkan RM1.1 juta untuk membaiki sistem paip di kawasan Sungai Puteri, Kuala Rompin di sini.

Katanya beliau telah mengenal pasti permasalahan air di kawasan itu adalah disebabkan oleh keadaan paip yang sudah usang dan perlu ditukar segera.

"Saya terima aduan bahawa tekanan air di kawasan Sungai Puteri rendah dan saya telah minta Pengurusan Air Pahang Berhad keluarkan peruntukan untuk menggantikan paip lama dengan paip baharu yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan," katanya.

Dalam pada itu Adnan berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang tetap komited untuk membantu meringankan beban ibu bapa dengan menyediakan bantuan pelajaran kepada semua pelajar yang layak.

"Yayasan Pahang akan terus pastikan pelajar di negeri ini akan mendapat peluang pendidikan yang secukupnya," katanya.

Pada majlis itu, 348 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat di daerah ini menerima BSM berjumlah RM600 seorang manakala 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Menengah Agama dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2014 menerima anugerah HPC berupa sijil dan wang insentif sebanyak RM250 hingga RM300 seorang.

0 comments:

share2