Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 27, 2015

#PRKRompin: BERSUA MUKA KALAU NAK MENANG





Suasana kempen Parlimen Rompin yang kini memasuki hari keenam agak suram, bukan sahaja tidak dimeriahkan dengan 'perang' poster dan bendera di kalangan parti yang bertanding, malah ceramah juga agak kurang.

Kedudukan Parlimen Rompin yang besar meliputi kawasan seluas 520,700 hektar dengan penduduk berjumlah 144,400 orang (pada 2010) yang tinggal bertaburan, menyukarkan aktiviti dilakukan setempat secara besar-besaran.

Seorang penganalisis politik Prof Madya Dr Ismail Sulaiman berpandangan BN dan Pas, yang menurunkan calon masing-masing pada pilihan raya kecil 5 Mei itu, lebih selesa menggunakan strategi kempen bersemuka untuk meraih undi daripada 53,294 pengundi berdaftar Parlimen tersebut, dengan 88 peratus atau 47,295 orang merupakan pengundi Melayu.

"Keadaan kempen di sini agak berbeza dengan PRK Permatang Pauh yang lebih agresif, kerana di sini (Rompin) kedua-dua parti dilihat menggunakan pendekatan tersendiri untuk berjumpa pengundi, kempen dari hati ke hati berbanding kempen agresif," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau berpendapat strategi komunikasi interpersonal lebih berkesan berbanding ceramah berikutan keluasan kawasan Rompin, oleh itu bahang PRK ini agak kurang dirasai.

Ismail berkata, walaupun Parlimen Rompin merupakan kubu BN, jentera BN tidak sepatutnya berasa terlalu selesa, sebaliknya perlu bekerja lebih kuat bagi memastikan peningkatan majoriti undi berbanding jumlah yang diraih pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, majoriti undi yang diperoleh penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis semakin meningkat setelah merundum pada PRU 2004 apabila beliau hanya mendapat majoriti 1,240 undi atau 13.25 peratus berbanding pada PRU 1995 dengan majoriti 12,825 undi atau 52.91 peratus.

Pada PRU 2013, Jamaluddin meraih majoriti undi sebanyak 15,114 atau 33.47 peratus berbanding pada PRU 2008 sebanyak 10,679 undi atau 33.23 peratus.

Ismail juga berkata jentera BN harus melihat pilihan raya kecil ini sebagai medium terbaik untuk memperjelaskan tentang isu tertentu yang kini menjadi rungutan masyarakat, misalnya kenaikan harga barangan berikutan pelaksanaan Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"GST saya yakin akan memberi kesan, tetapi perlu terus diperjelaskan kepada rakyat memandangkan dalam tempoh sebulan sahaja pelaksanaannya, kerajaan mampu meraih pendapatan sebanyak RM30 juta.

"Bayangkan jika ia berjaya dilaksanakan dalam tempoh setahun, kerajaan akan memperoleh pendapatan sebanyak RM360 juta dan ini secara langsung akan memberi kebaikan kepada negara apabila hasil daripada rakyat dapat dikembalikan kepada rakyat melalui projek pembangunan yang dilaksanakan," katanya.

Ismail berkata jika segala semua perkara itu ditumpukan dan diberi penjelasan yang baik, BN mampu mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang tinggi sebagaimana yang dimahukan.

Pandangan Ismail turut dikongsi penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian yang berkata BN perlu bekerja kuat jika mahukan majoriti yang tinggi melebihi 15,114 undi yang diperoleh dalam PRU 13.

Beliau berkata, pilihan raya kecil ini yang diadakan pada hari bekerja boleh menjadi faktor bilangan pengundi berdaftar yang keluar mengundi berkurangan.

Sementara itu bagi Pas, hakikat bahawa Parlimen Rompin adalah kubu kuat BN tidak mematahkan usaha parti itu untuk terus memancing pengundi dengan mempertaruhkan calonnya, Nazri Ahmad, seorang peniaga yang merupakan generasi kedua Felda Keratong 5 di sini.

Mereka menumpukan perhatian di kawasan Felda dengan menjadikan isu rumah untuk generasi kedua, kedudukan Felda Global Ventures Holding yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia selain isu nasional terutama CBP, sebagai bahan kempen.

Parlimen Rompin mempunyai 14 penempatan Felda yang dihuni 51.51 peratus daripada 53,294 pengundi kawasan itu.

Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, parti itu juga berusaha menarik sokongan kaum nelayan dari kawasan Dewan Undangan Negeri Tioman termasuk di Pulau Tioman dan masyarakat Orang Asli di kawasan Bukit Ibam.

Beliau berkata, Pas juga kurang menggunakan poster pada pilihan raya kecil ini dan lebih memberi tumpuan kepada media sosial serta kempen secara bersemuka dengan menurunkan 5,000 peraih undi.

PRK Parlimen Rompin 5 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN iaitu pemangku Ketua Umno bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin dan Nazri.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter pada 4 April lepas.

0 comments:

share2