Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 20, 2015

KUANTAN : 'ORANG ROMPIN KENAL DATUK HASSAN'



Pemilihan pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin Datuk Hassan Ariffin sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin tidak bermakna parti itu ketandusan pemimpin.

Setiausaha UMNO Bahagian Rompin, Datuk Wan Kadri Wan Mahusin sebaliknya berkata, Datuk Hassan adalah pemimpin yang berkebolehan dan mampu meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Justeru, katanya, dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kononnya calon BN adalah calon kitar semula tidak lebih sebagai cubaan pembangkang untuk mewujudkan isu yang tidak relevan dikalangan pengundi.

“Bagi saya, tidak wujud soal itu kerana pemilihan Hassan dibuat berdasarkan pelbagai penelitian termasuk perkhidmatannya sebelum ini sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam selain pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Pahang.

“Orang Rompin kenal siapa Datuk Hasan dan beliau disukai ramai serta mampu meneruskan legasi Tan Sri (Dr Jamaluddin Jarjis).

“PAS sengaja cakap calon kita kitar semula dan kalau letak muka baru nanti dikatakan calon BN tiada pengalaman pula,” katanya semalam.

Kelmarin, Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Hasan sebagai calon BN bagi PRK Parlimen Rompin berkata, pemilihan dibuat berdasarkan pengalaman luas individu dalam parti dan kerajaan serta diterima pelbagai pihak.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang ketika mengulas pengumuman itu yang disiarkan dalam laman web Harakahdaily menganggap Hassan sebagai calon kitar semula dan menunjukkan pelapis dalam UMNO sukar diberi peluang.

Wan Kadri yang juga ADUN Bukit Ibam berkata, rekod cemerlang Hasan sudah terbukti dengan pelbagai jawatan yang pernah dipegangnya sepanjang berkhidmat dalam parti dan kerajaan.

“Ada projek pembangunan dilaksanakannya ketika menjadi wakil rakyat dan Timbalan Menteri Besar Pahang. Ianya kemudian diteruskan oleh pemimpin lain yang hasilnya dinikmati oleh rakyat pada masa kini.

“Bukan kita tidak ada calon daripada generasi muda tetapi mengambil kira PRK, kita perlu meletakkan individu yang dikenali ramai dan Hasan memenuhi kriteria ditetapkan” katanya.

PRK Rompin ditetapkan pada 5 Mei depan manakala penamaan calon pada Rabu ini.

Ia diadakan berikutan kematian Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah menewaskan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd. Salleh dengan majoriti 15,114 undi.


Sumber


0 comments:

share2