Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 20, 2015

MENTAKAB: GUNA MEDIA SOSIAL ADU MASALAH



Guna media sosial adu masalah

Penduduk daerah ini disarankan menggunakan saluran media sosial sebagai salah satu medium menyampaikan masalah mereka kepada kerajaan kerana lebih pantas dan efisien.

Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp dan sebagainya sepatutnya dijadikan medium perantara yang bermanfaat daripada dijadikan ruang untuk menghentam mana-mana pihak.

Menurutnya, mengambil beberapa contoh beberapa masalah rakyat yang dibangkitkan melalui media sosial, banyak masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan pantas.

“Saya sendiri menjadikan ruang media sosial ini bagi melihat sendiri aduan dan masalah dihadapi rakyat kerana ia sudah tentu datangnya daripada rakyat di akar umbi.

“Banyak masalah seperti kebocoran paip air, jalan rosak dan lain-lain dapat diselesaikan apabila perkara ini dirujuk kepada jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Malam Mentakab semalam.

Beliau yang juga Adun Lanchang berkata, aduan mengenai kebanjiran warga asing menjaja di Pasar Malam Mentakab seperti didakwa masyarakat di dalam media sosial telah diambil kira dan disiasat sendiri.

Menerusi aduan itu katanya, beliau sendiri bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) turun padang melihat sendiri kebanjiran warga asing seperti didakwa.

“Hasil pemerhatian saya tidak ada warga asing berniaga di sini, kebanyakannya penduduk tetap tetapi mereka gunakan permit perniagaan anak dan suami atau isteri masing-masing.

“Jadi selepas menyiasat sendiri terbukti ia tidak benar,” katanya.
 

0 comments:

share2