Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 6, 2015

MASIH AWAL BINCANG CALON PARLIMEN ROMPIN


Adnan Yaakob


Bentong - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan tentang calon bagi pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Rompin.

Katanya beliau akan berjumpa dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan perkara itu selepas Speaker Dun Pahang memaklumkan tentang kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Namun, katanya beliau sudah ada nama yang sesuai untuk dicadangkan sebagai calon BN pada PRK itu nanti.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kekosongan kerusi Parlimen Rompin berikutan pemergian ke rahmatullah penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter terhempas di Semenyih, Selangor petang Sabtu lalu.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang ditemui pada majlis penyerahan Sijil Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Kesedaran Harta Intelek kepada pengusaha Halia Bentong di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek dan Pengerusi MyIPO Datuk Abdul Manan Ismail. 

Jamaluddin yang juga Pengerusi Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ialah anggota Parlimen Rompin sejak enam penggal lepas bermula tahun 1990.

Sementara itu, Adnan berkata, usaha mendaftarkan Halia Bentong sebagai harta intelek di bawah petunjuk geografi adalah langkah permulaan untuk mempatenkan lebih banyak lagi produk keluaran negeri ini.

"Kerajaan negeri sentiasa menyokong mana-mana pihak dari negeri ini yang ingin mendaftarkan produk di bawah harta intelek dan selepas ini kami akan mendaftarkan lagi beberapa produk yang sememangnya terkenal dari negeri Pahang seperti sambal hitam, tenun Pahang, gulai tempoyak dan puding raja," katanya.

Menteri Besar berkata langkah itu bukan sahaja dapat memperluaskan lagi pasaran kesemua produk berkenaan di dalam dan luar negara, tetapi juga dapat mengelak produk berkenaan diciplak untuk meraih keuntungan.

0 comments:

share2