Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 2, 2015

MAHKAMAH TINGGI BATAL SAMAN ISU KERTAS UPSR


kes mahkamah


Kuala Lumpur - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membatalkan saman seorang pelajar lelaki yang menghidapi disleksia terhadap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan kerajaan berhubung kebocoran dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.

Hakim Datuk Rosnaini Saub membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan LPM dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan oleh K.Mangala Bhavani iaitu ibu Ananda Krishnan Menon, 13.

Beliau memerintahkan plaintif membayar RM3,000 sebagai kos kepada kedua-dua defendan (pengarah LPM dan kerajaan).

Pada 13 Oktober tahun lepas, ibu pelajar itu memfailkan saman bagi pihak anaknya kerana mendakwa defendan cuai dalam mengendalikan peperiksaan UPSR pada tahun lepas sehingga menyebabkan anak lelakinya terpaksa menduduki semula beberapa kertas soalan.

Dalam kenyataan tuntutan, pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 itu mendakwa bahawa defendan gagal melaksanakan sistem yang selamat untuk menghalang kebocoran kertas soalan.

Semasa membuat keputusannya, Rosnaini memutuskan bahawa dakwaan plaintif terhadap defendan cenderung untuk gagal dan jelas tidak dapat bertahan serta ia adalah kes yang wajar bagi mahkamah untuk membatalkan saman.

Dalam penghakiman lapan muka surat yang dibacakan oleh Penolong Pendaftar Kanan Mohd Isa Md Nor, hakim itu juga memutuskan bahawa dakwaan plaintif tidak mengandungi sebab-sebab yang munasabah terhadap defendan.

Rosnaini berpendapat adalah melangkaui kebolehramalan yang sewajarnya untuk menyatakan bahawa pengarah LPM, selaku defendan pertama, bertanggungjawab terhadap penyakit psikiatrik yang dialami oleh plaintif akibat kebocoran kertas soalan UPSR.

"Plaintif cuma seorang daripada beratus-ratus ribu calon yang menduduki peperiksaan UPSR pada tahun itu. Defendan pertama mungkin bertanggungjawab bagi penyeliaan dan pemantauan keseluruhan peperiksaan UPSR, tetapi adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk mengenakan atau meletakkan tanggungjawab penjagaan setiap pelajar terhadapnya," kata beliau.

Menurutnya pertimbangan dasar awam juga perlu diambil kira memandangkan defendan pertama ialah pegawai awam.

0 comments:

share2