"Saya harap sangat kerajaan dapat cepatkan permohonan rumah mesra rakyat yang dah saya buat. Sebabnya, kami anak-beranak dah tak tahan tinggal berhimpit dalam rumah sementara yang hanya ada satu bilik," demikian luah peniaga kedai makan, Mariana Jalil, 48, ketika ditemui di Kampung Datuk Shariff Ahmad di sini, semalam.
Ibu beranak enam ini memberitahu, dia dan suami bersama enam anak mereka terpaksa berkongsi sebuah bilik di dalam sebuah kedai milik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Datuk Shariff Ahmad.
Tambahnya, sejak menyewa kedai tersebut dia dan suami Ngatimin Sanvarjo, 52, telah membuat dinding tambahan di belakang premis berkenaan untuk dijadikan kediaman mereka sekeluarga.
“Kami lapan beranak tinggal di sini. Anak sulung dah kahwin, tapi masih belum ada rumah sendiri. Kadang-kadang dia balik sini, menumpang tidur dengan kami. Susah sangat kami rasa. Mana tidaknya, anak-anak makin membesar, tinggal pula dalam
tempat yang hanya ada satu bilik. Kami ni kalau tidur, ibarat berhimpit-himpit sebab biliknya pun kecil," katanya sayu.
Menurutnya, permohonan rumah mesra rakyat telah dikemukakan lebih setahun lalu, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan sedangkan semua prosedur permohonan telah dipenuhi.
“Saya ada juga mohon tanah milik kerajaan dalam kampung yang cukup untuk buat sebuah rumah, tapi permohonan tu tak lulus..." keluhnya.
Katanya, sedangkan pendapatan RM40 sehari sebagai peniaga kedai makan dan gaji suami sebagai pengawal keselamatan belum cukup menanggung belanja makan dan pakaian anak-anak, kini terpaksa berdepan masalah tempat tinggal yang lebih
selesa pula.
“Nasib baik JKKK benarkan kami tinggal di kedai ni buat sementara waktu. Tapi, sampai bila nak terus harapkan ihsan sebegini... sebab tu kami harap sangat kerajaan tolong kami selesaikan masalah ni," katanya penuh mengharap.
Sementara itu, bapa Mariana, Jalil Sukaimi, 71, turut merayu agar kerajaan segera meluluskan permohonan anak sulung perempuannya itu memandangkan permohonan tanah dan rumah mesra rakyat telah dibuat setahun lalu.
“Pakcik ni kasihankan cucu-cucu yang terpaksa kongsi bilik. Ada yang dah kahwin pun tak mampu beli rumah lagi... nak tak nak terpaksa menumpang di rumah mak mereka juga.
"Pakcik tak sanggup tengok cucu-cucu tinggal dalam rumah yang sangat tak selesa macam ni. Mereka semua bukan kecil lagi, masing-masing makin besar. Tidur dalam satu bilik... sangat tak selesa.
"Sebab tu pakcik izin Mariana dan suami dia buat rumah atas tanah pakcik ni demi keselesaan cucu. Tapi, pakcik tak mampu nak bantu bina rumah. Pakcik berdoa dan harap permohonan mereka nak buat rumah menerusi bantuan rumah mesra rakyat diluluskan. Dah setahun mohon lagi pun... kita ni ikhtiar dah macam-macam. Kali ni harap kerajaan tolonglah bantu luluskan rumah untuk anak pakcik ni,” rayunya.
0 comments:
Post a Comment