Butterworth -- Dua anggota polis cedera apabila kereta peronda (MPV) yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang rumah setelah dihimpit sebuah van di Jalan Seri Ara 1, di sini Rabu.
Seorang daripada anggota polis itu patah tangan kiri manakala rakan setugasnya cedera di jari telunjuk kiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, dua koperal polis yang sedang melakukan rondaan dengan kenderaan MPV cuba menahan van berkenaan yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Seorang daripada anggota polis itu turut melepaskan tembakan amaran ke arah van itu selepas pemandu van beberapa kali menghimpit MPV polis.
"Van itu turut terbabas dan melanggar sebuah kereta, tetapi pemandu van dapat melarikan diri," katanya di sini Rabu.
Beliau berkata semakan awal mendapati van berkenaan dilapor hilang di Sungai Nibong, dekat sini baru-baru ini.
Abdul Rahman berkata dua anggota polis berusia 48 dan 52 tahun itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya.
"Terdapat CCTV di kawasan itu dan polis sedang menelitinya untuk siasatan lanjut," katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
0 comments:
Post a Comment