Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, April 17, 2015

BN SEDIA HADAPI PELURU POLITIK PR



BN sedia hadapi peluru politik PR


Permatang Pauh - Walaupun bakal berhadapan dengan pelbagai serangan politik, BN yakin mampu membuat kejutan dalam PRK Permatang Pauh nanti.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya tahu banyak isu-isu yang akan dihadapi oleh BN namun keseluruhan jentera sudah bersedia menghadapinya.

"Kami tahu banyak isu yang akan menghujani kami terutama isu terbaharu yang kami faham dan kami dapat tahu ada pihak yang sudah sediakan peluru untuk kami.

"Peluru politik ini memang kami jangkakan bertujuan memusnahkan imej parti tetapi saya yakin dengan komitmen jentera BN dan Umno Permatang Pauh serta negeri akan menghasilkan kejutan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama empat peringkat bahagian Permatang Pauh di Wisma Transformasi Umno Permatang Pauh di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Osman dan Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Ahmad Zahid yang juga Pengarah Pilihan Raya BN PRK Permatang Pauh berkata, walaupun BN tewas pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti 11,721, namun dengan kekuatan dan kesepakatan jentera BN, suatu kejutan boleh berlaku.

"Kaji selidik yang dilakukan mendapati rakyat sudah jemu dengan apa yang dialami selama ini bukan sahaja soal pembangunan tetapi merasakan perubahan harus dilakukan.

"Mereka mahu cita rasa baharu yang dapat mengubah landskap politik di Permatang Pauh dan negara," katanya.

Ahmad Zahid juga yakin tiada unsur sabotaj dari dalam parti kerana calon yang dipilih adalah dalam kalangan kepimpinan bahagian sedia ada.

"Kita akan pilih calon yang disukai dan boleh menang dalam PRK kali ini. Apa yang pasti kami akan membuat kejutan di Permatang Pauh," katanya.
 

0 comments:

share2