Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, April 22, 2015

BENTONG : PIKET BANTAH GST AKAN DI TERUSKAN

Piket bantah GST akan diteruskan


PKR Cabang Bentong tidak akan berhenti melakukan piket selagi kerajaan tidak mengambil keputusan untuk menarik kembali pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Ketua Cabang PKR Bentong, Dasimah Zainudin berkata, mereka merancang untuk melakukan piket terbabit seminggu sekali.

Kelmarin, sekitar jam 5 petang, sekumpulan ahli PKR Cabang Bentong dan Raub telah berkumpul di hadapan Dataran Bentong bagi pelancaran piket serentak seluruh negara menentang pelaksanaan GST.

Dasimah berkata, sejak GST dilaksanakan, PKR sering mendengar rungutan pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang kaum mahupun fahaman politik.

“Kita menerima rungutan pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan GST ini dan ia termasuklah mereka yang menyokong parti kerajaan.

“GST bukan sahaja memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah, malah juga golongan berpendapatan sederhana,” katanya.

Menurutnya, mereka juga menerima rungutan daripada peniaga yang tidak dapat meneruskan perniagaan mereka kesan dari pelaksanaan GST.

“Saya mendapat tahu ada antara peniaga yang kerugian akibat GST malah ada juga yang terpaksa gulung tikar kerana GST,” katanya.

Tambahnya, lebih memberi kesan adalah golongan wanita suri rumah yang terpaksa memikirkan masa hadapan perbelanjaan rumah mereka.

“Rata-rata yang menyertai piket kami pada hari ini adalah golongan suri rumah dan wanita yang hanya bergantung kepada pendapatan suami untuk menyara kehidupan sekeluarga.

“GST tidak membuatkan harga barang semakin menurun sebaliknya ia semakin meningkat dan ini termasuklah barangan seperti lampin pakai buang dan susu formula untuk anak yang naik harga kerana dikenakan GST,” katanya.

Justeru itu katanya, PKR Cabang Bentong tidak akan menghentikan piket terbabit kelmarin, malah akan meneruskannya sehingga kerajaan menarik semula pelaksanaan GST.

“Selagi GST tidak dihentikan, selagi itulah kami akan terus melakukan piket ini, malah kami merancang untuk melakukannya setiap minggu dengan lebih ramai penyertaan tanpa mengira latar belakang kaum mahupun fahaman politik,” katanya.


0 comments:

share2