Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 26, 2015

WARGA EMAS PARAH KENA KELAR


Warga emas parah kena kelar


Ledang – Seorang warga emas nyaris maut apabila tengkuknya dikelar dengan parang oleh seorang lelaki di sebuah syarikat pemasaran kelapa sawit dan getah dekat Bukit Gambir, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa, Md Noh Nahar, 62, mengalami kecederaan parah di tengkuk sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan kecemasan.

Insiden tersebut tidak disedari pekerja syarikat berkenaan kerana masing-masing sibuk dengan tugas melayan pelanggan yang datang berurus niaga.

Bagaimanapun, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia ada melihat suspek yang juga pelanggan syarikat itu memegang parang pendek sambil berkata-kata sesuatu yang tidak difahami.

"Suspek dilihat membasuh parang itu pada lopak air di hadapan kaunter dan meletakkan di bakul motosikal miliknya.

“Saya berasa tidak sedap hati lalu keluar ke bahagian hadapan dan terkejut lihat mangsa tertunduk di meja sambil memegang akhbar yang dibacanya dalam keadaan berlumuran darah kesan kelar di tengkuk.

“Mangsa mengerang kesakitan sambil meminta tolong dengan suaranya agak perlahan,” katanya.

Kata saksi itu juga, keadaan menjadi kecoh apabila orang ramai mula menyedari kejadian itu dan suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Mangsa yang juga pekerja syarikat itu dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Gambir sebelum dikejarkan ke HPSF,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan suspek berusia 45 tahun itu ditahan di rumahnya di Bukit Gambir dua jam selepas kejadian.

“Lelaki tersebut ditahan reman sehingga 30 Mac ini dan akan mendapatkan kebenaran mahkamah bagi membolehkan suspek menjalani pemeriksaan mental di hospital.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

0 comments:

share2