Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 9, 2015

TEMERLOH : BERSIH SUNGAI PAHANG ELAK BANJIR


Kerajaan negeri sedang mendalam dan membersihkan sungai sepanjang 272 kilometer bagi mengatasi masalah banjir.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang, Ir Shahruddin Ibrahim berkata, projek berkenaan melibatkan dua fasa dengan kerja-kerja mengorek pasir akan dijalankan kontraktor yang dilantik menggunakan teknologi dari China.

"Projek fasa pertama membabitkan perbelanjaan RM568 juta yang peruntukannya diluluskan kerajaan negeri Januari lalu.

"Kontraktor yang dilantik akan melakukan pemulihan sungai dengan kaedah mengorek, mendalam dan memperelok aliran di lima batang sungai iaitu Sungai Jelai, Sungai Lipis, Sungai Pahang, Sungai Kenau dan Sungai Kuantan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis dialog serta taklimat kepada penduduk di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said, Adun Jenderak, Datuk Mohamed Haji Jaafar dan Pengarah Urusan Gegaran Alam Sdn Bhd, Steven Ng.

Mengulas lanjut, Shahruddin berkata dengan langkah yang dibuat itu, kerajaan negeri menyasar dapat mengurangkan kawasan terjejas banjir kepada 2,700 hektar daripada 8,000 hektar.

"Sekiranya fasa pertama berjalan lancar, proses permohonan semula akan dilakukan bagi pelaksanaan fasa kedua sepanjang 279 kilometer melibatkan Sungai Pahang, Sungai Semantan, Sungai Bentong dan Sungai Telemong," katanya.

Beliau berkata, semua kos ditanggung pihak kontraktor yang akan mendapat timbal balik daripada hasil penjualan pasir sungai.

"Projek akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat kelulusan Kajian Pengurusan Alam Sekitar dan persetujuan daripada penduduk setempat," katanya. - Bernama



0 comments:

share2