Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 27, 2015

RAUB: KESAL HASIL SAWIT DIAMBIL ORANG


Kesal hasil sawit diambil orang


Pasangan kembar yang merupakan peserta Felcra ladang sawit Sungai Pasu, kesal dengan tindakan peserta lain yang didakwa mengambil hasil orang lain sesuka hati mereka.

Abdul Rahim Mohd Jam, 72, dan Abdul Rahman Mohd Jam, 72, mendakwa, peserta terbabit mengupah pekerja mengutip hasil tanpa mengira sempadan ladang peserta lain.

Abdul Rahman berkata, dia pernah terserempak dengan salah seorang pekerja terbabit yang mengutip hasil sawit di ladang milik dia dan kembarnya itu.

"Saya tanya kepada pekerja terbabit berkenaan hal tersebut, dan dia jawab hanya ditugaskan kutip hasil tanpa ketahui sempadan ladang tuannya atau pun tidak.

"Mereka seolah-olah tidak dimaklumkan langsung tentang hasil yang dikutip itu adalah milik orang lain ataupun milik tuan mereka," katanya.

Abdul Rahim berkata, lebih dikesalkan apabila Felcra bertindak lepas tangan berhubung perkara itu.

"Sejak Mac tahun lepas, kami sudah tidak terima sebarang hasil dari ladang kami dan dimaklumkan Felcra sudah tidak buat operasi kutip hasil.

"Apabila ditanya kenapa sudah tidak kutip hasil, mereka beri alasan terima ugutan dari peserta ladang sendiri yang menghalang mereka dari kutip hasil, di mana keuntungannya akan diserahkan kepada kami kemudiannya," katanya.

Menurut Abdul Rahim, mereka turut terpaksa menanggung hutang RM190,000 pembangunan tanah kepada pihak Felcra sejak mula memasuki rancangan terbabit 28 tahun lalu.

"Kami adik-beradik mewarisi ladang milik ibu bapa kami yang diserahkan pengurusannya di bawah program Felcra sejak tahun 1987.

"Sehingga kini kami tidak menerima sebarang penyata sama ada hutang sudah selesai atau belum dan kami juga tidak mengetahui baki hutang," katanya.

Katanya, disebabkan hutang kebanyakan peserta terikat dan tidak dapat keluar dari program Felcra.

"Bukan sahaja tidak diberikan penyata hutang, malah kami juga tidak diberikan penyata pendapatan hasil dari jualan buah sawit.

"Hutang itu tiada hitam putihnya, begitu juga apabila kami terima wang hasil. Kami cuma tahu dapat hasil apabila wang dimasukkan ke dalam bank," katanya.

Justeru, pasangan kembar berkenaan menggesa pihak Felcra turun padang bertemu dengan peserta bagi memberi penjelasan sebenar berkaitan perkara terbabit.

Sinar Harian akan menghubungi pihak Felcra Raub dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara berkenaan.

0 comments:

share2