Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 28, 2015

POLIS RAMPAS 895 PIL KUDA


Polis rampas 895 pil kuda


Tanah Merah - Tiga lelaki dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah ditahan selepas cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Taman Hiburan, dekat sini, awal pagi, kelmarin.

Pada kejadian jam 1.20 pagi itu, polis turut merampas 895 pil dipercayai dadah jenis pil kuda yang disembunyikan dalam kereta Perodua Kancil dinaiki tiga lelaki terbabit.

Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohd Fadzir Manap berkata, suspek berusia 20, 32 dan 37 tahun itu ditahan selepas cuba melarikan diri apabila tiba di lokasi sekatan.

“Ketika sekatan, kereta dinaiki tiga lelaki Melayu dilihat datang dari Jalan Dato’ Nik Mustapha dan apabila tiba di Jalan Taman Hiburan, kereta terbabit berpatah balik.

“Suspek cuba melarikan diri dengan melawan arus tetapi kereta dinaiki suspek berjaya ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta itu, polis menemui sekotak rokok di celah bahagian brek tangan yang mengandungi dua paket biru berisi 395 pil kuda.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudian menemui sebekas pewangi yang disorok di bawah alas kaki di bahagian tempat duduk belakang kereta berkenaan.

“Bekas pewangi plastik ini mengandungi tiga paket biru berisi 500 pil kuda. Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari, bermula kelmarin,” katanya.

Mohd Fadzir berkata, berdasarkan siasatan awal, dadah yang dirampas itu dipercayai dibeli di daerah ini dan cuba diedarkan di Gua Musang.

“Hasil ujian awal saringan air kencing, ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methampetamine dan dua daripada mereka ada rekod jenayah lampau.

“Suspek berusia 32 tahun pernah ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala suspek berusia 37 tahun pernah ditahan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

0 comments:

share2