Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 30, 2015

PARKIR MOTOSIKAL JADI SARANG MAKSIAT


Parkir motosikal jadi sarang maksiat


Sungai Petani – Lokasi tempat simpan motosikal yang dahulunya menjadi tumpuan pengunjung bandar ini kini dibimbangi menjadi sarang maksiat dan port menghidu gam.

Pengadu yang enggan dikenali berkata, kawasan yang terletak dekat Jalan Petri serta bersebelahan sebuah bangunan lama itu dijadikan tempat menyimpan motosikal sementara kepada orang ramai yang bekerja di Butterworth sebelum meneruskan perjalanan menggunakan bas.

Menurutnya, selain meletakkan motosikal yang diawasi penjaga, orang ramai juga menyimpan topi keledar, beg dan barangan lain.

“Tetapi kini, ia tidak lagi berfungsi dan dibiarkan tanpa sebarang pengawasan. Lebih malang, lokasi sama dikatakan menjadi sarang maksiat dan port melepak golongan remaja,” katanya.

Dakwanya, kawasan sama yang turut mempunyai ruang kecil dan sedikit terlindung dipercayai menjadi lokasi golongan tertentu melampiaskan nafsu terutama pada waktu malam.

“Kami juga pernah dikejutkan dengan kes kehilangan dan kecurian yang berlaku di kawasan sekitar di mana barangan curi tersebut dikatakan disembunyikan di ruang terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Ko Hung Weng berkata, beliau sendiri melakukan kunjungan ke lokasi terbabit sebaik sahaja menerima maklumat dari orang ramai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke lokasi terbabit mendapati, kawasan tersebut bukan sahaja dibiarkan tanpa pengawasan tetapi jadi sarang kegiatan pelacuran.

“Kita lihat bukan sahaja ada sisa kondom yang sudah digunakan, terdapat peralatan hidu gam di sana sini, dipenuhi sampah-sarap, tidak terurus dan menjijikkan. Tidak mustahil ia juga menjadi laluan tikus dan pembiakan nyamuk.

“Kita bimbang kawasan ini juga dijadikan port pelajar melepak kerana tidak jauh dari kawasan sekolah, terletak di tengah pusat bandar dan lokasi laluannya yang jarang dilalui orang awam membolehkan kegiatan terbabit dilakukan secara tersembunyi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli majlis telah memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan agar memusnahkan kawasan terbabit.

Katanya, beliau mengharapkan tindakan segera diambil bagi membendung gejala tidak sihat yang boleh menjejaskan imej Sungai Petani sebagai sebuah bandar yang sedang pesat membangun.

0 comments:

share2