Soalan: Apakah hukum menggunakan nama samaran dalam laman sosial seperti Twitter, Facebook dan sebagainya?
Jawapan: Hari ini terdapat pelbagai jenis nama samaran digunakan pengguna laman sosial. Ada menggunakannya untuk tujuan baik, ada juga yang menggunanya untuk niat menipu dan memfitnah orang lain. Kedua-dua keadaan itu mempunyai hukum berbeza mengikut tujuan dan maksudnya.
Pertama, menggunakan nama samaran untuk tujuan baik tanpa sebarang motif jenayah dan maksiat adalah diharuskan kerana perbuatan itu sama seperti nama samaran yang diamalkan oleh Nabi SAW serta sahabat. Contohnya, nama samaran Nabi SAW adalah Abu al-Qasim. Abd al-Rahman pula dikenali sebagai Abu Hurairah. Perbuatan itu dibenarkan Nabi SAW kerana mereka tiada niat untuk melakukan jenayah atau maksiat daripada nama samaran itu.
Selain itu, penggunaan nama samaran untuk tujuan siasatan dalam arena kepolisan juga turut dibenarkan dalam Islam. Sememangnya daripada awal lagi Islam meletakkan keutamaan terhadap pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, syarak membenarkan segala jenis usaha untuk memastikan kelima-lima perkara itu terpelihara dan terjaga dengan baik.
Atas dasar itu juga, Nabi SAW pernah menggunakan seorang penyiasat bukan Islam dalam peperangan Khandak untuk mendapatkan maklumat musuh. Maka, adalah tidak menjadi satu kesalahan bagi pihak berkuasa polis, tentera dan sebagainya untuk menggunakan nama samaran bagi tujuan keselamatan.
Kedua, menggunakan nama samaran untuk tujuan menipu dan jenayah adalah haram di sisi syarak. Perbuatan sedemikian akan mengakibatkan kemudaratan kepada diri mereka sendiri dan orang lain.
S: Apakah hukum menyamar sebagai orang lain dalam Facebook?
J: Hari ini terdapat banyak kes jenayah siber yang menyebabkan pelbagai kerugian terpaksa ditanggung oleh umat Islam sama ada lelaki mahupun wanita. Oleh demikian, sebagai langkah berhati-hati, hukum menyamar sebagai orang lain dalam Facebook dengan menggunakan gambar atau nama samaran adalah diharamkan.
Terdapat unsur penipuan yang boleh memudaratkan banyak pihak. Ia bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sesiapa sahaja yang menipu bukan daripada kami (umatku)." (Riwayat Muslim)
Hadis itu jelas menunjukkan Nabi Muhammad SAW sangat tegas melarang perbuatan menipu sehingga golongan yang berbuat demikian tidak dianggap umat oleh Baginda Nabi SAW.
Mungkin Nabi Muhammad SAW mengetahui perbuatan menipu, menyamar dan seumpamanya tanpa sebarang keperluan syarak boleh memberi impak negatif terhadap hubungan kemasyarakatan.
Contohnya, seseorang itu akan terpengaruh dan tertipu dengan gambar samaran yang menawan atau nama samaran dipaparkan dalam maklumat peribadi pemilik laman sosial berkenaan. Dengan cara itu, pelbagai jenayah boleh berlaku dan ada kalanya boleh menyebabkan kerugian wang ringgit, maruah dan sebagainya.
Atas dasar itu, kaedah fiqah telah menegaskan, jangan memudaratkan (diri kamu) dan jangan dimudaratkan orang lain.
S: Kebebasan bersuara menjadikan sesiapa saja boleh membuat kenyataan atau membuat komen di laman sosial. Malah, ada yang menggunakan bahasa tidak sopan. Apakah hukum kita mencarut di laman sosial.
J: Hari ini kita didedahkan pelbagai kaedah untuk bersosial termasuklah Facebook, Twitter dan sebagainya. Islam tidak pernah sama sekali melarang umatnya daripada bersosial, bahkan ia digalakkan kerana mampu mengeratkan silaturahim sesama insan.
Walaupun begitu, cara kita bersosial mestilah menepati kehendak syariat Islam antaranya memelihara segala jenis penyampaian termasuklah tutur kata. Sehubungan itu, menggunakan kata-kata kesat dalam laman sosial seperti mencarut, menghina dan sebagainya adalah diharamkan oleh Islam.
Sesiapa sahaja yang berbuat demikian akan mendapat dua dosa. Pertama, dosanya dengan Allah SWT kerana mengingkari arahan Nabi Muhammad SAW supaya memelihara kata-kata.
Sabda Nabi Muhammad SAW: "Sesiapa sahaja yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap dengan kata-kata yang baik atau dia berdiam diri." (Riwayat Bukhari)
Dosa kedua ialah dosa sesama manusia. Dosa yang kedua ini tidak akan mendapat keampunan Allah SWT selagi orang yang kita cemuh atau kutuk tidak memaafkan perbuatan itu.
Perkara ini dapat dibuktikan menerusi sabda Nabi Muhammad SAW: "Adakah kamu semua mengetahui akan golongan yang muflis? Jawab sahabat: Mereka adalah golongan yang tiada harta! Baginda SAW berkata lagi: Sesungguhnya mereka itu adalah golongan yang datang pada hari kiamat kelak dengan pahala solat, puasa dan zakat mereka. Namun, semua itu habis apabila orang yang teraniaya dengan (kata-kata kesat atau fitnah) datang mengambilnya daripada mereka." (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, memelihara tutur kata daripada perkataan nista dan kesat terhadap orang lain sama ada dalam bentuk bertulis atau percakapan adalah menjadi satu kewajipan kepada semua Muslim.
Justeru, marilah kita menggunakan segala nikmat teknologi yang ada hari ini sebagai medan untuk berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, jadikan Twitter, Facebook sebagai tempat mengeratkan hubungan silaturahim.
0 comments:
Post a Comment