Melaka - Seorang pemuda maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di Jalan Thamby Abdullah, di sini, Jumaat lalu.
A Kathiravan, 23, disahkan meninggal dunia kira-kira 10.10 pagi kelmarin, ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan teruk di kepala.
Saksi kejadian dikenali sebagai Raja, 24, berkata, ketika kejadian kira-kira 3.30 petang itu. mangsa berada di sebuah restoran dan dibelasah sekumpulan tiga lelaki yang dikenalinya.
Kumpulan itu kemudian menghumban mangsa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna putih.
“Saya ke restoran itu membeli makanan untuk dibawa ke tempat kerja. Saya nampak dua lelaki berbadan besar dan seorang lagi kurus, memukul mangsa sebelum memasukkannya ke dalam kereta Proton Saga, lalu beredar.
“Saya kenal mangsa, lalu menghubungi kakaknya supaya segera membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, kakak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai A Suja, 30, berkata, kira-kira 1 tengah hari sebelum kejadian, dia ada meminta Kathiravan pulang ke rumah.
“Sewaktu saya menghubunginya, dia memberitahu yang dia berada di Banda Hilir dan berjanji akan pulang ke rumah mereka (di sebuah rumah pangsa di Ayer Keroh).
"Pada 2.15 petang, abang sulung kami, Nagalingam menghubunginya dan dia memberitahu dalam perjalanan pulang.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 3 petang, saya keluar untuk mengambil adik bongsu kami di stesen bas Melaka Sentral, ketika itulah saya terima panggilan daripada seorang kenalan memberitahu ada tiga orang lelaki memukul dan memasukkan adik ke dalam sebuah kereta," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Suja berkata, dia segera menghubungi Kathiravan bagaimanapun ada lelaki lain yang menjawab panggilan dengan makian.
Berikutan itu, Suja berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah kira-kira 6.45 petang Jumaat lalu, sebelum bergegas ke Hospital Melaka selepas dimaklumkan adiknya sudah dibawa ke situ.
“Pihak hospital memberitahu ketika adik saya dihantar ke hospital, otak dan sistem sarafnya tidak berfungsi lagi, sebelum disahkan meninggal pada keesokan paginya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, polis sudah menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
0 comments:
Post a Comment